fbpx

Luahan Pembaca: Mangsa pemandu mabuk wajar dibela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemalangan melibatkan pemandu mabuk mencuri tumpuan pelbagai pihak, namun penyelesaiannya masih belum menampakkan hasil. – Gambar hiasan

Saudara Pengarang,

Kemalangan sebuah kereta dinaiki empat sekeluarga yang dirempuh kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki mabuk di Kluang, Johor, baru-baru ini, cukup meruntun jiwa.

Tindakan pemandu Nissan Navara berusia 29 tahun itu telah menyebabkan dua kanak-kanak perempuan yang menaiki kereta jenis Toyota Vios terbabit parah, manakala ibu bapa mereka cedera.

Nur Hana Humaira Mohd Yusof, berusia setahun lima bulan dilaporkan mengalami pendarahan otak, selain cedera pada tulang pinggul, sementara kakaknya, Nur Aisyah Humaira juga mengalami pendarahan pada otak serta bengkak tulang rahang.

Akhbar baru-baru ini me­laporkan, kenyataan bapa kepada dua beradik malang itu, Mohd. Yusof Othman, 34, bahawa anak-anak beliau terpaksa ‘ditidurkan’ dan perlu menjalani ujian imbasan. Jika ada pendarahan teruk pada otak, mereka perlu menjalani pembedahan.

Kali terakhir pindaan dibuat ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) adalah pada tahun 2020 di mana hukuman lebih berat menanti pesalah jalan raya bagi kesalahan di bawah Seksyen 41 hingga Seksyen 45.

Pindaan juga dibuat terhadap Seksyen 44 Akta sama membabitkan kesalahan menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan yang dibahagikan kepada dua kategori kes iaitu menyebabkan kecederaan dan kematian.

Jika sabit kesalahan, individu yang menyebabkan kematian semasa memandu boleh dipenjara antara 10 dan 15 tahun, serta didenda antara RM50,000 dan RM100,000 selain hilang kelayakan lesen memandu selama 10 tahun untuk sabitan pertama.

Pindaan turut memperuntukkan hukuman penjara 15 hingga 20 tahun, denda minimum RM100,000 dan maksimum RM150,000 selain hilang kelayakan lesen untuk tempoh 20 tahun, bagi kesalahan berikutnya.

Jika dilihat, agak berat hukuman penjara dan denda yang dikenakan selepas pindaan, namun mengapa kes-kes melibatkan pemandu mabuk tidak berkurangan, malah semakin kerap berlaku.

Hukuman penjara dan denda yang menanti ternyata tidak cukup ‘menggentarkan’ mereka.

Di mana silapnya? Pada tahun lepas, bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata, kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda lagi Akta Pengangkutan Jalan 1987 di sidang Parlimen.

Menurut bekas Menteri itu, pindaan terbaharu akan membawa lebih banyak manfaat kepada pemandu atau pemilik kenderaan selain meningkatkan keselamatan jalan raya untuk semua pengguna jalan raya.

Justeru, penulis sangat berharap Menteri Pengangkutan yang baharu, Anthony Loke, bersama barisan Menteri Kabinet dapat mencari jalan penyele­saian terbaik agar mangsa-mangsa kemalangan membabitkan pemandu mabuk mendapat pembelaan sewajarnya.

Fadzillah Aishah Ismail
Pensyarah Kewartawanan,
Pusat Pengajian Komunikasi dan Media Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media
Universiti Teknologi Mara,
Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI