Saudara Pengarang,
SAYA ingin meluahkan kekecewaan terhadap mutu perkhidmatan kakitangan Hospital Machang, Kelantan yang kurang memuaskan dalam merawat kes kecemasan.
Baru-baru ini saya pulang ke kampung dan isteri mengalami keracunan makanan sehingga muntah-muntah dan dibawa ke hospital memandangkan klinik swasta tidak beroperasi seawal pukul 7 pagi.
Saya bawa isteri ke Unit Kecemasan Hospital Machang, namun menurut pengawal, perlu menunggu unit pesakit luar dibuka kerana katanya, ia bukan kes kecemasan.
Kami pun akur walaupun ketika itu isteri saya masih mengalami muntah-muntah dan terpaksa ke tandas beberapa kali sebelum unit pesakit luar dibuka kepada orang ramai.
Selepas dibuka pukul 8 pagi, kami antara orang terawal mendaftar terpaksa menunggu hampir sejam sebelum dirujuk kepada pegawai perubatan.
Apa yang mendukacitakan, ketika tempoh hampir dua jam menunggu, rata-rata kakitangan hospital itu seolah-olah tidak serius untuk merawat pesakit.
Ada yang masih bersiap, baru sampai dan masuk, ada yang masih berborak bersama rakan sekerja walaupun sudah ada pesakit yang menunggu untuk mendapatkan rawatan.
Hampir empat jam masa kami terbuang gara-gara sikap acuh tak acuh kakitangan Hospital Machang yang kerja sambil lewa sedangkan kes seperti itu jika dirujuk klinik swasta kurang dari sejam.
PAPAZOLA KECEWA
Orang Machang