fbpx

LTSAAS jadi hab penerbangan serantau, sasar 8 juta penumpang setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Loke pada sidang akhbar di LTSAAS, Subang hari ini.

PETALING JAYA – Kerajaan telah meluluskan cadangan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) yang disediakan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) berasaskan hala tuju serta dasar akan dilaksanakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kelulusan tersebut telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 2 Februari lalu setelah mengambil kira pertimbangan yang teliti.

Jelas beliau, pembangunan itu akan memberi fokus terhadap pembangunan Ekosistem Aeroangkasa, Penerbangan Am dan penerbangan perniagaan serta Lapangan Terbang Bandar Raya atau Sekunder.

Selain itu katanya, berdasarkan pelan tersebut kerajaan bercadang memperkenalkan semula penerbangan berjadual serantau menggunakan pesawat jet (narrow body) sehingga A320/B737 atau seumpamanya dan belly kargo (pesawat kargo) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS).

“Sasaran pasaran adalah kumpulan penumpang bisnes ataupun kelas premium dengan memanfaatkan penuh kedudukan LTSAAS yang cukup strategik di tengah-tengah ibu kota negara kita.

“Penerbangan berjadual menggunakan pesawat ‘propeller’ dan ‘turboprop’ akan dikekalkan berikutan permintaan pasaran terhadap perkhidmatan tersebut di LTSAAS dijangka berterusan dan positif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, melalui SARP, LTSAAS bakal berubah menjadi sebuah hab penerbangan serantau dengan kapasiti maksimum seramai lapan juta penumpang setahun.

“Pertumbuhan dan perubahan wajah LTSAAS akan menjana ribuan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia.

“Ia akan memberi rangsangan kepada rantaian industri pengangkutan udara dan industri aeroangkasa selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju aeroangkasa di rantau Asia Tenggara menjelang tahun 2030,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI