PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi jabatan penguatkuasaan menyerbu enam penjaja Myanmar (etnik rohingya) yang berniaga di luar kawasan Pasar Harian Selayang, di sini, awal pagi semalam.
DBKL menerusi hantaran di Facebook berkata, pihaknya melakukan serbuan menerusi rondaan mengejut dari pegawai dan anggota penguatkuasa di sekeliling pasar tersebut sekitar pukul 4 pagi.
“Hasil serbuan mendapati, enam tindakan sita dan pindah barangan dilakukan terhadap penjaja sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijalankan oleh warga Myanmar yang juga pemegang kad dikeluarkan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR).
“Tindakan penguatkuasaan dilakukan dibawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Sementara itu, DBKL mendapati, warga tempatan sendiri menjadi pelanggan tetap buat penjaja etnik Rohingya di sana hasil daripada temubual dan pemerhatian yang dilakukan pihaknya.
“Sebahagian daripada mereka adalah pengusaha kedai runcit, kedai makanan,dan restoran yang pemiliknya merupakan warga tempatan berniaga di dalam Kuala Lumpur dan sekitar negeri Selangor.
“Barangan yang disita telah dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk dokumentasi dan tindakan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, DBKL menegaskan, pemegang kad dikeluarkan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) dilarang menjalankan atau bertindak sebagai peniaga ataupun pemilik kepada sebarang aktiviti penjajaan. – KOSMO! ONLINE.