fbpx

Labur RM150,000 dapat RM20,000, The Jebats akur tiada rezeki juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN rezeki juara tidak menyebelahi mereka, namun The Jebats gembira dapat menyertai Famili Duo yang dianggap sebagai pengalaman berharga sebagai anak seni.

SHAH ALAM – Pasangan adik-beradik, Ayda dan Fyna Jebat akur dengan keputusan malam kemuncak Famili Duo yang menyaksikan mereka meraih tempat kedua biarpun sepanjang pertandingan sudah membelanjakan kos sebanyak RM150,000.

Kata Ayda, perkara itu dianggap sebagai bukan rezeki, malah dia dan adiknya bersyukur melalui pelbagai pengalaman yang mematangkan sepanjang lapan minggu berdepan cabaran.

“Sepanjang lapan minggu bertanding, kos keseluruhan yang saya keluarkan sudah melebihi RM150,000 tetapi tiada rezeki kami untuk bergelar juara.

“Kami bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan, selain hanya mampu berterima kasih kepada peminat yang menyokong perjalanan kami dalam program ini.

“Sudah tentu kami melakukan sehabis baik untuk mengungguli gelaran juara, namun kami percaya setiap aturan Allah mempunyai hikmah tersendiri.

“Paling penting kami menerima sokongan tidak berbelah bagi seluruh pasukan, selain memberikan hasil terbaik kepada peminat yang tidak pernah jemu menyuntik semangat juang,” katanya usai pertandingan malam tadi.

KEGIGIHAN Ayda dan Fyna Jebat menampilkan konsep esktravaganza setiap minggu sentiasa menuai perhatian peminat.

Duo yang meraih hadiah wang tunai RM20,000 itu akur dengan kemaraan Zaki Yamani dan Yamani Abdillah yang diumumkan sebagai juara sekali gus layak membawa pulang ganjaran utama bernilai RM100,000.

Mengulas lanjut mengenai perbelanjaan mingguan yang dikatakan terlampau besar, penyanyi Mana Ada Hati itu melihat pelaburan tersebut demi merealisasikan persembahan berkualiti.

“Kalau dikira semula kos, memang tidak berbaloi dari semua segi termasuk usaha, kreativiti, masa, tenaga dan sebagainya, namun sebagai penyanyi, saya gembira dan puas dapat menghiburkan orang ramai.

“Ikutkan semua tema mingguan kami telah buat bersungguh-sungguh dengan menonjolkan pelbagai props seperti kapal terbang, sarkas, tapak pembinaan dan konsert rock.

“Cuma adat pertandingan, ada kalah dan menang. Pengalaman memasuki program ini tidak dapat dibeli di mana-mana dan rezeki kami sudah tertulis setakat naib juara,” ujarnya.

Pada masa sama, penyanyi berusia 30 tahun itu bersyukur kerana dapat berkongsi rezeki dengan mereka yang membantu melancarkan misi pentingnya itu hingga tiada apa perlu dikesalkan.

“Alhamdulillah, saya berpeluang berbahagi rezeki dengan ramai orang termasuk pemuzik, tetamu undangan, jurusolek, pereka fesyen, penata gaya, juruaudio dan petugas belakang tabir yang menyediakan props.

“Perkara itu paling utama kerana segala kos yang saya keluarkan ini juga adalah rezeki untuk insan lain,” tambah Ayda.

Sementara itu, Fyna pula menyatakan Famili Duo memberikan peluang kedua kepada dirinya untuk kembali aktif dalam arena nyanyian selepas menyepi seketika.

“Program ini menjadi permulaan yang baik untuk saya aktif semula sebagai penyanyi. Ini semua atas galakan Ayda untuk kami sama-sama menyahut cabaran ini.

“Saya bertuah mempunyai seorang kakak yang percaya kepada kemampuan saya selain berusaha keras setiap minggu. Pengorbanannya menyuntik semangat,” tambahnya.

Ayda dan Fyna malam tadi mempertaruhkan medley Gemilang serta Pada Syurga Di Wajahmu untuk segmen pertama disusuli Let’s Get Loud dan Gangnam Style bagi slot kedua persembahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI