PETALING JAYA – Sebagai individu yang pernah mengalami tekanan mental sehingga mencederakan diri sendiri, pelakon Hafreez Adam mengingatkan kepada masyarakat di luar sana agar tidak memandang ringan tentang penyakit tersebut.
Ujarnya, jangan sesekali menyuruh pesakit yang mengalami kesihatan mental agar menjaga soal agama seperti solat dan mengaji kerana orang luar tidak akan pernah tahu apa yang dilalui golongan tersebut.
“Bila orang kongsi atau cerita pasal isu kesihatan mental, jangan cakap kepada mereka, ‘jaga solat’, ‘banyakkan mengaji’.
“Kalian takkan pernah tahu apa yang mereka harungi. Kalian tak tahu apa yang mereka lakukan untuk jadi dan rasa lebih baik. Kalian takkan tahu,” tulisnya dalam hantaran Instagram.
Tambah Hafreez, jika seseorang itu tidak berkongsi ibadah dalam media sosial, tidak bermakna dia tidak melakukan amalan tersebut dalam kehidupan.
“Tak semua orang kongsi gambar atas sejadah. Tak kongsi, tak bermakna tak buat. Bayangkan. Macam mana kalau orang tu buat semua, solat, mengaji tapi tetap ada isu (kesihatan mental).
“Sedangkan kalian menyuruh mereka buat. Mereka ada buat, tapi hanya Allah yang tahu,” katanya lagi.
Pelakon drama Tarik Aku Ke Syurga itu mengingatkan semua bahawa setiap ujian manusia berbeza-beza.
Justeru, apa yang perlu dilakukan adalah sentiasa mendoakan golongan tersebut yang bergelut dengan ‘perang’ dalam diri sendiri.
“Kalian putus cinta dengan kekasih pun menangis sampai 13 hari. Sekurang-kurangnya kalian tahu kenapa rasa begitu.
“Bayangkan orang yang rasa terpuruk, tapi tak tahu punca? Senang ke nak okey kalau punca pun tak tahu? Jadi baik ya kalian, jadi baik,” tulisnya lagi.
Terdahulu, beberapa tahun lalu, Hafreez membuat pendedahan mengejut apabila pernah mengalami tekanan mental sehingga tahap mencederakan diri sendiri.
Keadaan itu berlaku kerana dia kerap berdepan situasi yang mengecewakan sejak kecil dan hanya memendam perasaan seorang diri tanpa berkongsi kepada orang lain termasuk ibunya. – KOSMO! ONLINE