WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memuji tindakan Pentagon yang berjaya menembak jatuh belon didakwa pengintip milik China di luar pantai AS kelmarin.
China bagaimanapun meluahkan rasa berang dan menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan tersebut dengan Beijing berkata, ia mungkin melaksanakan ‘tindak balas yang perlu’ ekoran kejadian itu.
“AS berkeras untuk menggunakan kekerasan dan jelas bertindak balas dengan cara berlebihan. China berhak untuk melakukan tindak balas yang dirasakan perlu,” kata Kementerian Luar China menerusi satu kenyataan.
Belon udara itu terbang selama beberapa hari di Amerika Utara sebelum ia ditembak di luar pantai negeri tenggara AS, Carolina Selatan menggunakan peluru berpandu dari jet F-22 Raptor, kata pegawai Pentagon.
Serpihan belon itu kemudian jatuh ke dalam kawasan lautan yang agak cetek dengan hanya sedalam 14 meter.
Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin menyatakan operasi itu sebagai tindakan yang disengajakan dan sah serta dibuat sebagai tindak balas kepada pelanggaran kedaulatan negara tersebut yang tidak boleh diterima.
Bagaimanapun, Kementerian Luar China mengecam tindakan itu dalam satu kenyataan semalam dengan menyatakan bahawa tembakan ke atas ‘belon awam’ adalah jelas sebagai tindakan yang keterlaluan serta melanggar amalan antarabangsa.
“Petang kelmarin adalah peluang pertama tentera AS untuk menembak jatuh belon tersebut dengan cara yang tidak akan menimbulkan ancaman kepada keselamatan rakyat Amerika,” kata seorang pegawai kanan pertahanan kepada pemberita.
Susulan insiden itu, satu operasi dilancarkan di perairan wilayah AS di Lautan Atlantik bagi mencari serpihan belon tersebut yang terbang pada ketinggian kira-kira 18,288 meter serta dianggarkan bersaiz tiga buah bas sekolah.
Kontroversi terbaharu itu bermula pada Khamis lalu apabila pegawai-pegawai AS berkata, mereka sedang menjejaki belon ‘pengawasan’ milik China yang besar di ruang udara negara itu.
Ia turut menyebabkan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken pada Jumaat lalu membatalkan lawatannya ke Beijing, yang sepatutnya bertujuan untuk membendung ketegangan hubungan antara Washington dan Beijing.
China sebelum ini turut mengaku bahawa ia sebenarnya belon cuaca awam yang telah diterbangkan dan meluahkan rasa kesal kerana ia tersasar ke AS.
Belon itu mula memasuki ruang udara AS di Alaska pada 28 Januari lalu sebelum bergerak ke Kanada dan kemudian kembali ke Amerika beberapa hari kemudian.
Ia bukan kali pertama dalam sejarah belon seumpama itu terbang melintasi wilayah AS. Sebelum ini, tiga belon dikesan semasa pentadbiran bekas presiden, Donald Trump. – AFP