MALAYSIA merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai seni persembahan merangkumi tarian, teater, dramatari dan muzik yang menjadi satu keunikan serta daya tarikan kepada pelancong.
Seperti kita tahu, Orang Asli merupakan etnik yang mempunyai nilai budaya, amalan dan pegangan kuat terhadap adat secara turun-temurun.
Salah seorang penuntut Universiti Malaya (UM), Nur Syazwani Elias cukup tertarik dengan tarian sewang masyarakat Orang Asli.
Dia mengakui pada awalnya agak gementar, lebih-lebih lagi selepas dimomokkan dengan pelbagai persepsi negatif mengenai ritual tersebut.
Katanya, setelah mengkaji secara mendalam seni tarian tersebut, dia dapati, ia tidak terhad kepada adat ritual semata-mata tetapi sewang diperkaya dengan pelbagai bentuk hiburan.
Menurut Nur Syazwani yang merupakan pelajar Fakulti Pendidikan di UM, budaya dan warisan masyarakat Orang Asli harus dilestarikan untuk semua kaum di negara ini.
Jelasnya ia bertujuan meningkatkan rasa hormat-menghormati, sekali gus memperkukuhkan perpaduan antara kaum dan etnik di negara ini.
Katanya, ia bertepatan dengan tujuh teras Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dikemukakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Siddiq.
Menariknya, Persatuan Kurikulum Malaysia dengan sokongan penuh Fakulti Pendidikan UM dan Yayasan Hasanah menganjurkan Teater Muzikal Sewang Cerita Rakyat Masyarakat Orang Asli peringkat kebangsaan baru-baru ini.
Program melibatkan tujuh buah sekolah yang berlangsung di Auditorium Fakulti Pendidikan UM itu bertujuan merealisasikan pembangunan karamah insaniah ke arah Malaysia Madani.
“Saya amat teruja apabila dapat terlibat secara langsung dalam Teater Muzikal Sewang Cerita Rakyat ini.
“Menerusi program ini, saya dapat mengenali budaya dan warisan masyarakat Orang Asli dengan lebih mendalam.
“Pada masa sama, saya belajar seni tarian sewang serta anyaman hiasan yang digunakan semasa persembahan berkenaan,” katanya.
Tambah Nur Syazwani, dia amat berbesar hati apabila Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan, Dr. Mohd. Nazri Abdul Rahman yang aktif menjalankan kajian berkaitan pendidikan Orang Asli sentiasa memberikan peluang buatnya dan rakan-rakan mendalami cara hidup etnik unik tersebut.
“Semakin saya teroka seni tarian sewang, semakin saya rasa lebih dekat dengan masyarakat Orang Asli.
“Sesungguhnya, sewang adalah tarian tradisional yang asalnya dilakukan bagi tujuan perubatan dengan merangkumi unsur spiritual seperti pemujaan roh, semangat si mati serta upacara membuang bala.
“Namun, pada hari ini, tarian sewang telah diolah semula bagi tujuan persembahan hiburan, penghormatan dan penyampaian cerita kehidupan masyarakat Orang Asli dalam bentuk kreatif,” ujarnya.
Menurut Nur Syazwani lagi, jika dahulu, tarian Sewang dipersembahkan dalam bentuk bulatan sambil diiringi paluan alat muzik yang diperbuat daripada sumber alam semula jadi seperti ketukan buluh, seruling dan gendang.
Pun begitu, pada hari ini, kita dapat melihat pelbagai bentuk gerak tari dalam tarian sewang dan ada kalanya disebatikan dengan seni tari masyarakat Melayu.
“Apa yang menarik minat saya, ia bukan tarian semata-mata. Malah, ia dipersembahkan dalam bentuk penceritaan atau dipanggil sebagai teater muzikal sewang.
“Ia sangat menarik kerana setiap irama, rentak dan lagu sewang terkandung seribu cerita bagi mendidik masyarakat khususnya Orang Asli.
“Di samping itu, simbolik dan keunikan masyarakat Orang Asli dapat ditonjolkan melalui pemakaian busana dan tatarias unik yang dikenakan oleh para penari.
“Ada yang dianyam daripada daun palas, daun rumbia, daun nipah, daun kelapa serta perhiasan bunga bagi memperlihatkan keanggunan masyarakat Orang Asli,” katanya.
Menurutnya lagi, keindahan tersebut memperlihatkan keakraban hubungan masyarakat Orang Asli dengan alam sekitar yang tidak tidak boleh dipisahkan.
Dia menambah, ini secara tidak langsung membuatkannya terus jatuh cinta dengan budaya unik etnik minoriti tersebut.