MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag mengakui kurang senang dengan sikap Casemiro yang cuba mempertahankan rakan sepasukannya, Antony biarpun berdepan layangan kad merah pada aksi bertemu Crystal Palace kelmarin.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Haaksbergen, Belanda itu percaya bahawa penyerang Palace, Jordan Ayew sepatutnya perlu dikenakan hukuman sama kerana bertindak di luar batas ke atas Fred ketika insiden tercetus ekoran kekasaran Jeff Schlupp terhadap Antony.
Casemiro berdepan hukuman penggantungan tiga perlawanan selepas pegawai pengendali Video Bantuan Pengadil (VAR), Tony Harrington mendapati dia telah mencekik leher Will Hughes ketika perlawanan berakhir dengan United meraih kemenangan 2-1 di Old Trafford itu.
“Anda boleh lihat bagaimana para pemain mempertahankan rakan sepasukan mereka sendiri. Ia adalah semangat yang baik ditunjukkan. Mereka tidak mahu ada rakan sepasukan dicederakan oleh pemain lawan. Namun, saya fikir mereka perlu lebih bijak mengawal emosi dan berdepan situasi seperti itu.
“Ia adalah situasi yang sukar. Pemain kedua-dua pasukan sebenarnya bertindak melampaui batas, tetapi hanya satu pemain dihukum dan saya anggap itu adalah tidak adil,” katanya.
Ten Hag mengakui bahawa Casemiro telah melakukan tindakan yang tidak sepatutnya, namun percaya Ayew juga melakukan perkara yang sama apabila mencekik leher Fred, tetapi terlepas daripada sebarang hukuman.
“Saya fikir pemain itu (Ayew) juga perlu berdepan hukuman yang sama dan VAR perlu diuruskan secara konsisten. Minggu lalu kami kehilangan Christian Eriksen ekoran terjahan keras, namun VAR tidak melakukan tugasnya. Mereka tidak konsisten dan ini tidak adil.
“Casemiro cuba untuk menghalang pemain yang cuba melakukan serangan ke atas pemain kami. Dia tidak berniat untuk melakukan kecederaan, tetapi tindakannya dianggap keterlaluan. Namun, ramai lagi pemain yang bertindak melampau dalam insiden itu,” jelasnya. – AGENSI