PETALING JAYA – Seorang pemilik kedai makan terkejut apabila tindakan pekerjanya melemparkan senyuman kepada pelanggan sambil mengucapkan terima kasih mengundang cemburu isteri individu itu.
Kejadian itu dikongsi pemilik restoran berkenaan di Facebook baru-baru ini.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan bila dan di mana kejadian itu berlaku.
Difahamkan isteri pelanggan itu menghubungi pemilik premis itu di Facebook untuk menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap sikap mesra pekerja tersebut.
“Maaf ya kalau saya lancang berkata. Boleh tak pihak kedai bagi tahu dekat pekerja hari ini jangan nak ramah sangat dengan suami orang.
“Kalau nak berterima kasih cukup cakap terima kasih tak perlu senyum-senyum,” katanya.
Terkejut dengan mesej itu, pemilik premis berkata ini merupakan kejadian pertama berlaku apabila pelanggan tidak berpuas hati dengan kemesraan pekerja di premisnya.
“Nanti kalau muka masam orang kata nak menjual ke atau nak marah orang. Terima kasih atas teguran sebab belum pernah pelanggan yang datang komen macam ini.
“Lagipun normal kalau pergi kedai makan tuan kedai akan senyum. Tapi, kalau itu buat kamu terasa, saya minta maaf daripada pihak pekerja,” katanya.
Meninjau di ruang komen mendapati, rata-rata pengguna menyelar tindakan pelanggan itu yang dianggap cemburu tidak bertempat.
Bagaimanapun, ada juga yang memuji pemilik restoran berkenaan yang tidak melenting apabila ‘ditegur’ oleh pelanggan tersebut.
“Itulah hakikat bekerja dalam bidang khidmat pelanggan. Buat ini salah, tak buat pun salah. Balik rumah bercakap dengan kucing sajalah gamaknya,” kata Razeen.
“Itulah kalau ada pelanggan datang berpasangan saya memang cakap terima kasih pada yang perempuan saja. Risau kalau kena tegur begini,” kata Hany.
“Berurusan dengan orang ramai memang lah kena senyum. Takkan nak masam pula. Simpanlah suami itu di rumah kalau cemburu sangat,” kata Hasanah.
“Nanti gantung kad besar tulis jangan senyum dekat suami aku,” seloroh Puan Sri.
Sehingga kini, perkongsian itu telah mendapat lebih 2,000 tanda suka dan 900 komen. – KOSMO! ONLINE