MELAKA – Sepasukan bomba membantu membawa turun seorang lelaki obesiti seberat 140 (kg) menggunakan cadar dari kediamannya di tingkat empat sebuah pangsapuri di Lorong Pandan, di sini, bagi mendapatkan rawatan di hospital, hari ini.
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Sofian Hassan berkata, panggilan bantuan itu diterima pada pukul 10.13 pagi daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, sepasukan tujuh pegawai dan anggota bersama-sama sebuah jentera telah dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi pada pukul 10.22 pagi, kita dapati benar terdapat seorang mangsa lelaki obesiti berumur 50 tahun terbaring di dalam bilik kerana dipercayai tidak mampu bangun untuk dibawa petugas KKM ke hospital.
“Seramai tujuh anggota bomba membantu mengangkat dan membawa turun mangsa dari kediamannya di tingkat empa,” katanya.
Tambahnya, mangsa telah diangkat menggunakan cadar dan operasi membawa turun mangsa mengambil masa kira-kira 15 minit.
“Mangsa selamat dibawa turun tanpa sebarang kecederaan dan operasi tamat pada pukul 10.37,” katanya.