fbpx

Beruang gigit, cakar tangan – Bomba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FATIN NUR ATIRAH menjaga suaminya, Mohamad Nizam yang dimasukkan ke HSAH selepas cedera akibat diserang seekor beruang matahari di Kampung Kabu, 10, Selengkoh Tengah Khamis lalu.

SUNGAI PETANI – Seorang anggota bomba yang cedera akibat diserang seekor beruang memberitahu, dia hampir pitam akibat kehilangan banyak darah ketika terpaksa melindungi mukanya dengan tangan daripada digigit dan dicakar haiwan ber­kenaan.

Mohamad Nizam Hamid, 27, memberitahu, beruang matahari itu menyerangnya selepas terasa diancam selepas melihatnya terjatuh ketika sedang mencari haiwan berkenaan yang menghilang di tengah-tengah bendang.

Mengimbau semula kejadian pada pukul 10 pagi itu, Mohamad Nizam berkata, beruang itu lari dan merasa terancam selepas dikejar penduduk kampung.

“Ketika itu saya bukan mengepung atau mengejarnya, tetapi ingin mencari beruang tersebut untuk memudahkan pergerakan anggota Perhilitan menang­kapnya. Waktu itu mereka semua dalam perjalanan ke situ.

“Tidak lama kemudian, saya nampak beruang itu bersembunyi di celah-celah pokok padi. Jarak saya dengannya kira-kira satu meter menyebabkan saya terkejut serta panik lalu terjatuh terlentang di dalam petak sawah,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

Jumaat lalu, Kosmo! me­laporkan mengenai Mohamad Nizam yang cedera pada tangan kiri akibat digigit beruang ber­kenaan dalam kejadian di Kampung Kabu, 10, Selengkoh Tengah dekat Sungai Limau di sini.

Berita berkaitan: [VIDEO] Anggota bomba cedera, diserang beruang

Menurut Mohamad Nizam, beruang itu kemudian menerkam dan cuba menggigit mukanya tetapi dia menutup menggunakan tangan menyebabkan anggota badannya itu terkena gigitan.

Tambahnya, gigitan beruang itu sangat kuat hingga menyebabkan tali jam tangannya putus, manakala sarung tangan dan baju perlindungan khas turut terkoyak dan dipenuhi darah.

“Kejadian berlaku begitu pantas hingga menyebabkan saya hampir pitam kerana kehila­ngan banyak darah sebelum beberapa rakan datang membantu menghalau beruang itu,” katanya.

Ujar anggota di Balai Bomba dan Penyelamat Yan itu, dia bersyukur apabila beruang betina dewasa itu tidak berterusan menyerangnya dan menyebabkan dia terselamat.

Sementara itu, isterinya, Fatin Nur Atirah Azizan, 22, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian tersebut ketika berada di rumah di Kampung Batu 11, Bukit Besar, Kota Sarang Semut, dekat sini kira-kira pukul 12 tengah hari.

“Saya dan keluarga terus bergegas ke Hospital Yan selepas melihat video suami saya diusung kerana cedera digigit beruang yang tular pada hari sama.

“Walaubagaimanapun saya bersyukur kerana suami tidak mengalami kecederaan lebih serius dan berharap dia akan segera sembuh untuk meneruskan tugas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI