fbpx

4 nelayan ditemukan terapung menggunakan tong ikan sempat bawa bekalan makanan, air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Zaidi ketika ditemu-bual pegawai penyiasat Zon Maritim Miri.

MIRI- Berkesempatan membawa bekalan makanan dan air membolehkan empat nelayan bertahan hidup semasa berapung di dalam tong simpanan ikan ketika hanyut selama lima hari di laut, apabila bot pancing yang digunakan mereka karam akibat dipukul ombak.

Menceritakan peristiwa mengerikan itu, tekong bot pancing terbabit, Mohd Zaidi Camry Abdullah, 43, berkata mereka sangat bernasib baik apabila dalam keadaan semakin lemah, mereka telah dijumpai oleh kapal luar pesisir yang dalam perjalanan ke pelantar pada petang semalam.

“Bekalan air kami habis pada hari keempat manakala bekanan makanan masih ada. Kami juga menadah air hujan untuk diminum,” katanya ketika ditemu-bual pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di sini, hari ini.

Menurut Mohd Zaidi, dia bersama tiga lagi mangsa dikenali Muhammad Herman Arpat,25, Sinasi Badu, 44, dan Frenky Daud Amin, 40, keluar dari jeti Piasau pada pukul 9 pagi, 28 Januari lalu menuju ke kawasan pelantar PC4 yang terletak kira-kira 50 batu nautika dari Miri.

Katanya pada 29 Januari kira-kira pukul 6 petang, mereka bersauh untuk berehat kerana ombak mula beralun.

Namun, beliau berkata dalam pukul 1 pagi, cuaca semakin bertambah buruk dan mereka cuba bertahan sehingga pagi namun pada masa itu, ombak semakin bergelora dan bot mereka juga tiba-tiba bocor.

“Kami cuba menimba air keluar tapi air semakin naik dan setelah mengangkat tong ikan, didapati bahagian haluan bot telah pecah dan air masuk dengan laju.

“Setelah itu, kami membuang ikan di dalam tong dan mengikat kedua-dua tong tersebut.

“Kemudian saya memberitahu yang lain untuk mengambil beg masing-masing dengan bekalan makanan untuk masuk ke dalam tong simpanan ikan,” katanya.

Justeru, Mohd Zaidi berkata pengalaman ngeri itu ternyata memberi pengajaran kepadanya dan beliau menasihatkan nelayan yang lain untuk sentiasa berhati-hati ketika di laut dan membuat persiapan yang sewajarnya.

Sementara, jurucakap Zon Maritim Miri ketika dihubungi memberitahu semasa ditemui, kesemua mangsa kelihatan lemah akibat kekurangan air di dalam badan (hidrasi).

Malah, katanya bahagian pinggang mangsa juga terdapat kesan melecet akibat berendam dengan air laut, dengan duduk di dalam tong ikan dalam keadaan yang sempit.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Shafie Paing dalam satu kenyataan pagi tadi, memaklumkan pihaknya telah membantu membawa kesemua mangsa ke Jeti Marina Bay di sini, setelah dijumpai oleh kapal luar pesisir, Ultra Jaya yang dalam perjalanan ke pelantar pada jarak kira-kira 75 batu nautika dari muara Sungai Miri pada pukul 10 pagi semalam. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI