PETALING JAYA – Lebih 1,800 aduan yang diterima oleh Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin (PWRN) sejak 5 Januari lalu daripada pencarum yang menuntut agar kerajaan meluluskan Tuntutan Pengeluaran Khas KWSP 2.0.
Presidennya, Jannahtul Ain Jaafar berkata, aduan diterima adalah dari seluruh negara di mana jumlah terbanyak adalah Selangor, Johor, Sabah dan diikuti dengan Sarawak.
“Banyak aduan saya terima mereka hidup susah. Ada satu kisah menyayat hati di mana pengadu ada seorang isteri dan lima orang anaknya terpaksa tidur dalam kereta di stesen bas kerana tidak mampu bayar sewa rumah.
“Pengadu minta tolong saya agar gesa kerajaan untuk mengeluarkan wang KWSP kerana tersepit dengan kehidupan yang susah. Banyak lagi kisah menyayat hati yang lain, seperti pasangan suami isteri terpaksa bercerai-berai kerana dihimpit dengan masalah kewangan.
“Jadi saya sebagai wakil pencarum, mendesak agar kerajaan bertimbang rasa kerana ini sememangnya duit mereka. Memang kerajaan kata, simpanan tersebut adalah untuk hari tua mereka, tetapi sekarang ini pun mereka tidak boleh bertahan dah,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Tambahnya, saranan caruman KWSP dijadikan cagaran kepada bank untuk membantu pencarum adalah tidak berasas kerana ia akan membebankan lagi mereka dengan tambahan hutang dengan pihak bank.
Jelasnya, dengan keadaan yang menghimpit golongan pencarum-pencarum ini, mereka mengharapkan sejumlah wang tunai yang banyak dan bukannya semata-mata berharap kepada bantuan kerajaan yang tidak mampu menampung kehidupan.
Dalam pada itu, Jannahtul berkata, lebih 320,000 telah menandatangani petisyen yang dibuat oleh pihaknya untuk menggesa agar kerajaan meluluskan pengeluaran wang KWSP.
Sehingga kini, pihaknya masih menerima aduan dari hari ke hari dan cuba membantu untuk meringankan beban mereka mengikut kemampuan dirinya.
Antara aduan yang diterima adalah tekanan yang dihadapi oleh pencarum kerana menerima panggilan dari pihak bank dan terutamanya dari ‘ah long’.
“Pihak-pihak ini semuanya mendesak pencarum agar membayar pinjaman yang dibuat semasa hilang punca pendapatan ketika pandemik.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pernah menyatakan, kira-kira 6.1 juta pencarum berusia 55 tahun ke bawah mungkin hanya ada RM42 untuk dibelanjakan setiap bulan selama 20 tahun selepas bersara kelak.