SEBERANG PERAI – Seramai 16 penumpang termasuk pemandu mengalami kecederaan apabila bas ekspres yang dinaiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer (KM) 5.5, Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Bagan Ajam di sini pagi tadi.
Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika bas terbabit dalam perjalanan dari Butterworth menghala ke Seberang Jaya.
Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.19 pagi.
Menurutnya, seramai 13 anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Kuala Butterworth dibantu BPP Perai bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati terdapat seramai enam lelaki dan 10 wanita di dalam bas terbabit. Tidak ada mangsa yang tersepit dan semuanya berjaya dikeluarkan anggota bertugas.
“Kesemua mangsa yang cedera ringan diberikan rawaran awal oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan. – KOSMO! ONLINE.