SEREMBAN – Seorang pekerja pentadbiran sebuah syarikat swasta kerugian RM141,000 selepas wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya lesap diperdaya sindiket Macau Scam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, mangsa seorang wanita berusia 56 tahun memaklumkan telah dihubungi oleh individu dari sebuah syarikat insurans pada pukul 11.30 pagi, 20 Januari lalu memaklumkan mangsa ada membuat tuntutan insurans.
“Mangsa kemudian telah disambungkan kepada individu yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Qayyum kononnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk membuat laporan.
“Mangsa telah diberitahu terlibat dengan kesalahan penggubahan wang haram sebelum disambungkan pula Pendakwa Raya yang mengarahkan mangsa membuat kad bank baharu jika mahu menyelesaikan kes,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Akur dengan arahan tersebut, Ahmad Dzaffir berkata, mangsa telah pergi ke Bank Rakyat di Seremban 2 pada 25 Januari lalu untuk membuat kad bank baharu dan telah mengikut setiap arahan Pendakwa Raya tersebut.
“Mangsa kemudiannya mengeluarkan duit KWSP sebanyak RM 130,000 sebelum dipindahkan ke akaun Bank Rakyat. Mangsa hanya sedar ditipu apabila wang dalam akaunnya berkurangan sebanyak RM141,000 dan terdapat beberapa transaksi berlaku semalam,” katanya lagi.-KOSMO! ONLINE