fbpx

Tonton porno punca ketagih mengintai perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tabiat suka mengintai Arman menjadi-jadi selepas memasuki asrama. – GAMBAR HIASAN

MASIH teringat dalam memorinya ketika usia 12 tahun kala dia bermain telefon pintar milik bapa saudaranya yang pulang ke kampung beraya.

Tanpa sengaja, dirinya terbuka sebuah video yang tidak sepatutnya ditonton oleh kanak-kanak seusianya.

Video tersebut merupakan sebuah video pornografi yang mana menjadi titik permulaan kepada satu perangai pelik pemuda itu.

Mengakui menonton video berkenaan menjentik sesuatu dalam dirinya, Arman (bukan nama sebenar), 28, memberitahu, perkara itu juga menjadikan dia ketagih untuk melihat wanita berbogel.

Katanya, sejak menonton video tersebut secara tidak sengaja, dirinya sentiasa terbayang akan sosok tubuh wanita dalam video berkenaan.

“Semasa kecil saya membesar dan tinggal dengan nenek, ketika itu akses terhadap teknologi hanya melalui bapa saudara atau sepupu yang pulang ke kampung.

“Selepas menonton video itu, saya ingin menontonnya lagi tetapi oleh kerana tiada telefon pintar, keinginan itu saya penuhi dengan mengintai anak gadis jiran saya mandi di bilik air rumahnya,” kata anak tunggal itu.

Ceritanya lagi, perkara itu berlarutan selama dia tinggal dengan neneknya sehingga usia 15 tahun dan menjadi satu ketagihan buat dirinya.

Boleh dikatakan setiap hari dia akan menyorok di belakang rumah yang mana terletaknya bilik air yang berdindingkan zink.

Perbuatannya itu tidak dapat dihidu oleh sesiapa kerana keadaan di belakang rumah jirannya itu sedikit semak dan terlindung dari pandangan orang-orang yang lalu lalang.

Pada usia 16 tahun, Arman kemudian tinggal di sebuah asrama selepas menerima tawaran memasuki sebuah sekolah teknik di Kuantan, Pahang.

Meskipun pada ketika itu dia mempunyai akses menonton pornografi di telefon yang diseludup masuk ke asrama, ketagihannya untuk mengintai perempuan mandi semakin menjadi-jadi.

Di sekolah itu, Arman dapat meneruskan tabiat buruknya dengan mengintai pelajar perempuan mandi dan bersiap di satu lokasi tersorok berdekatan asrama puteri.

“Saya mengetahui akan lokasi berkenaan daripada seorang pelajar ‘senior’ yang ketika itu mengajak saya ke sana.

“Sejak itu, setiap petang saya akan ke lokasi berkenaan untuk mengintai, malah tabiat itu juga berterusan semasa saya belajar di sebuah kolej komuniti,” kongsinya.

Tambahnya, di kolej komuniti, Arman mempunyai lokasi ‘strategik’ yang mana dia kerap mengintai perempuan di tandas.

 

Tanpa Arman sedari tabiat itu sebenarnya menjadi kebiasaan buat dirinya meskipun semasa dia balik ke rumah ibu bapanya di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, ketagihan itu dapat dihidu oleh ibunya yang secara tidak sengaja ternampak dia mengendap di belakang rumah jiran yang disewa oleh beberapa orang gadis pada waktu malam.

“Lorong di belakang rumah agak gelap, dan jika saya mengintai jiran tiada siapa yang akan perasan, namun pada malam itu, ibu ternampak saya mengendap dan dia terus menarik saya masuk ke dapur.

“Malam itu, ibu juga terus memberitahu ayah akan perbuatan saya, saya dimarahi oleh mereka yang sebenarnya sudah lama mengesyaki perkara tersebut tetapi tidak mahu menuduh tanpa bukti,” ujarnya.

Pada malam itu ibu dan bapa meminta Arman untuk berterus terang akan perbuatannya itu dan dia menceritakan apa yang telah dilakukannya selama ini.

Menyedari apa yang dibuat Arman sudah menjadi satu ketagihan, ibu bapanya membawa dia untuk mendapatkan rawatan dengan bertemu pakar psikiatri.

“Sejak hari itu, saya cuba berlawan dengan keinginan dan ketagihan untuk mengintai perempuan, selain menjalani rawatan saya juga mendekatkan diri dengan Allah dengan mengaji serta mengikuti program keagamaan.

“Alhamdulillah, sehingga hari ini saya sudah dapat mengatasinya dan ketagihan itu juga sudah tidak lagi menjadi sebahagian dalam hidup saya” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI