ALOR SETAR – Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kedah beranggapan cadangan waktu persekolahan bermula pukul 8 pagi hanya boleh dilakukan jika semua sekolah hanya mempunyai satu sesi pembelajaran.
Pengerusinya, Zainol Abidin Mohamad berkata, menganjak waktu persekolahan dari waktu asal 7.30 pagi itu disifatkan hanya membebankan pelajar sesi petang.
“Sekarang waktu sekolah bermula pukul 7.30 pagi hingga 1.30 tengah hari bagi sesi pagi dan petang pula 1.30 tengah hari hingga 6.30 petang.
“Bagi sesi pagi mungkin tak ada masalah tetapi bagi sesi petang, pelajar akan pulang pada pukul 7 malam sebab sesi pagi bermula pukul 8 pagi,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kata beliau, kebanyakan sekolah di Kedah pula masih mempunyai dua sesi persekolahan.
“Kita percaya ini tidak sesuai dilaksanakan masuk sekolah pukul 8 pagi. Boleh laksanakan tetapi pastikan semua sekolah hanya mempunyai satu sesi sahaja dahulu,” ujarnya.
Tambahnya, PIBKS juga melahirkan kebimbangan dengan keselamatan pelajar sekiranya ada yang terpaksa pulang pada lewat petang.
“Mungkin ada yang kena pulang sekolah sehingga waktu maghrib. Waktu di negara ini berubah kadangkala Maghrib awal, pukul 7 malam sudah gelap dan bagaimana dengan keselamatan pelajar-pelajar yang harus pulang sendiri?
“Kita berharap satu-satu dasar atau perubahan itu dilaksanakan dengan mempersembahkan kebaikan dan keburukannya bagi jangka masa panjang malah secara menyeluruh. Jangan lihat pada satu pihak sahaja,” katanya.
Di Sungai Petani, seorang ibu, Siti Sarah Shabudin, 33, dari Gurun berharap supaya sistem waktu persekolahan lama dikekalkan agar anak-anak lebih berdisiplin untuk bangun awal ke sekolah.
Suri rumah yang juga ibu tiga orang anak itu berkata, dia lebih selesa menghantar anaknya ke sekolah seawal pukul 7 pagi kerana tidak mahu bersesak dengan pengguna jalan raya lain yang mahu ke tempat kerja.
Katanya, pihak Kementerian Pendidikan sepatutnya lebih memfokuskan kepada isu berkaitan sukatan pelajaran yang semakin susah.
“Sukatan pelajaran anak-anak sekarang makin susah sampai ibu bapa tidak boleh bantu ajar di rumah.
“Sepatutnya perkara ini diberi keutamaan berbanding isu waktu persekolahan pukul 8 pagi tersebut,” ujarnya.
Di Ipoh, tinjauan Kosmo! Ahad mendapati, rata-rata ibu bapa berpandangan cadangan itu boleh dilaksanakan, namun banyak perkara yang harus diteliti terlebih dahulu.
Menurut Mohd. Hussin Rahman, 39, sesi persekolahan yang bermula pukul 8 pagi boleh dilaksanakan, namun kerajaan perlu juga mendapatkan pandangan para majikan.
Jelasnya, ia kerana kemasukan anak ke sekolah pada pukul 8 pagi mungkin menjejaskan waktu ibu bapa bekerja tiba di pejabat.
“Jika ibu bapa hantar anak mereka sebelum pukul 8 ke pejabat, manakala waktu masuk bekerja pula sekitar 8 atau 8.30 pagi, ia mungkin menjejaskan waktu ketibaan mereka.
“Jadi adalah mustahak bagi kerajaan mendapatkan pandangan majikan jika cadangan sesi persekolahan pada pukul 8 itu mahu dilaksanakan,” katanya.
Bagi Hasliza Mansor, 43, pula, sekiranya majikan enggan bertolak ansur dalam perkara tersebut, ibu bapa tiada pilihan lain selain menghantar anak di awal pagi seperti yang berlaku ketika ini. -KOSMO! ONLINE