PETALING JAYA – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei merangkul gelaran pertama musim ini selepas muncul juara pada Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa (IC) Iran yang berlangsung di Tehran.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Persekutuan Badminton Iran hari ini, gandingan No.56 dunia itu menewaskan rakan sepasukan, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing 21-19, 21-15 dalam tempoh 28 minit.
Lebih manis, kemenangan Tang Jie-Ee Wei turut melegakan kem badminton negara memandangkan ia adalah gelaran sulung diraih pemain Malaysia sejak permulaan kempen 2023 pada Terbuka Malaysia bulan lalu.
Walaupun memerlukan masa kurang 30 minit menewaskan rakan sepasukan, namun gandingan yang mula digandingkan penghujung tahun lalu itu tetap berdepan cabaran sukar apabila Pang Ron-Mei Xing mengekori rapat kedudukan mata, terutamanya di set pertama.
Bagaimanapun, mereka menampilkan aksi lebih kemas di set kedua apabila menguasai sepenuhnya permainan dengan perbezaan mata yang agak besar sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-19, 21-15.
“Sudah tentu saya berpuas hati dengan keputusan pemain-pemain beregu campuran di Iran biarpun kejohanan ini hanya bertaraf IC. Apa yang penting adalah pemain dapat ambil mata maksimum di sini,” kata jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto.
Dalam dua kejohanan terdahulu, Tang Jie-Ee Wei gagal melayakkan diri ke pusingan separuh akhir apabila terkandas di suku akhir pada Terbuka Malaysia sebelum ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua ketika menyertai Terbuka India.
Kemenangan itu pastinya menjadi pembakar semangat buat pasangan tersebut selepas mereka disenaraikan dalam skuad negara bagi menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAMTC) 2023 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pertengahan bulan ini.
Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei juga menjadi pertaruhan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memburu kelayakan ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung 26 Julai hingga 11 Ogos tahun depan.
HABIS.