fbpx

Taikun China pindah ke Singapura untuk selamatkan aset

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR 1 Februari lalu menunjukkan kawasan perumahan mewah Teluk Sentosa di Pulau Sentosa, Singapura. -- AFP

SINGAPURA – Singapura menyaksikan kebanjiran masuk keluarga-keluarga sangat kaya dari China yang mahu melindungi aset mereka daripada kecurigaan Parti Komunis.

Kempen pembanterasan terhadap billionair dan selebriti yang liat membayar cukai baru-baru ini di samping dasar ketat Covid selama tiga tahun, menjadi antara punca ramai hartawan China mencari tempat selamat di luar negara.

Bimbangkan nasib harta mereka, sesetengah kelompok terkaya di China telah menempah tiket ke Singapura, kata beberapa sumber dalaman kepada agensi berita AFP. Singapura sebagai hab kewangan Asia, katanya, menjadi lokasi penghijrahan mereka.

Antara faktor tarikan ialah Singapura diperintah oleh parti tunggal sejak enam dekad lalu, manakala mogok pekerja dan demonstrasi jalanan diharamkan. Cukai di pulau itu juga rendah dan majoriti populasinya pula terdiri daripada bangsa Cina.

Kehadiran rakyat China baru-baru ini dapat dirasaai di Singapura dengan sebilangan mereka berpindah ke kediaman-kediaman mewah tepi pantai di Pulau Sentosa yang turut menempatkan sebuah taman tema, kasino dan kelab golf berprestij.

“Anda tidak dapat bayangkan cara mereka membelanjakan wang. Ia tidak masuk akal,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AIMS, Pearce Cheng. Firma AIMS menyediakan perkhidmatan penempatan semula dan penghijrahan.

Katanya, dia pernah menghadiri parti klien di mana arak yang jarang didapati dan berharga AS$800,000 (RM3.4 juta) sebotol dihidangkan.

Firma Cheng juga membantu mencari kondo mewah, menggaji pemandu dan menghantar anak-anak ekspatriat ke sekolah swasta. Firma itu juga pernah diminta membeli cerut berharga AS$61,000 (RM259,738)

Kumpulan hartawan China yang baru tiba dilihat menaiki kereta Rolls Royce dan Bentley serta kerap bersantai di kelab-kelab golf mewah seperti Kelab Golf Sentosa di mana ahli luar negara dikenakan yuran AS$670,000 (RM2.8 juta) setahun.

“Ramai antara mereka ialah warga China berusia lebih muda dan mereka biasanya bergaul sesama sendiri dan makan bersama,” kata Benny Teo yang merupakan pengarah urusan Blazon iaitu firma perunding khusus untuk sukan golf.

Berpindah ke Singapura menjadikan kekayaan kelompok terkaya di China tidak dapat disentuh oleh Beijing. Negara komunis itu melakukan operasi pembanterasan ke atas sejumlah individu berprofil tinggi baru-baru ini yang menakutkan bilionair-bilionairnya.

Tokoh perniagaan yang tidak asing di Asia, Jack Ma rugi sekitar AS$25 bilion (RM106.4 bilion) apabila pihak berkuasa menyekat tawaran awam syarikatnya dalam tahun 2020.

Taikun-taikun China lain bimbang Parti Komunis boleh mengenakan tekanan serupa malah, merampas perniagaan mereka pada harga rendah, kata seorang akuntan yang arif mengenai situasi itu kepada AFP.

“Berpindah ke Singapura adalah bagi memastikan kekayaan keluarga boleh disimpan dengan selamat dan bertahan selama beberapa generasi,” katanya.

Singapura semakin dilihat sebagai tempat menetap dan bukan sekadar pelan sokongan, kata sumber lain dalam industri sama sambil menambah, pelanggan-pelanggan memberitahunya: “Sekurang-kurangnya apabila saya berada di Singapura, saya tahu wang saya adalah milik saya.”

Salah seorang pengasas rangkaian restoran hotpot terbesar China, Haidilao telah menubuhkan pejabat keluarganya di Singapura baru-baru ini.

Pihak Berkuasa Monetari Singapura menganggarkan bilangan pejabat keluarga yang berfungsi sebagai syarikat pengurusan aset individu dan kumpulan, meningkat daripada 400 dalam tahun 2020 kepada 700 pada 2021.

Lo Kia Meng selaku ketua bersama firma guaman Dentons Rodyk menganggarkan bahawa 1,500 pejabat berkenaan boleh ditubuhkan menjelang akhir tahun lalu.

“Saya tidak terkejut sekiranya angka keseluruhan menjelang akhir 2022 menunjukkan satu daripada dua pejabat keluarga baharu di Singapura berasal dari China,” katanya.

Penghijrahan keluar jutawan dan bilionair itu dijangka berterusan sekali pun dasar sifar Covid dan sekatan ketat China telah dimansuhkan.

Ketegangan politik antara Beijing dan Washington mengukuhkan lagi kemahuan sebilangan individu terkaya di China untuk berhijrah ke luar negara.

“Singapura adalah zon neutral yang amat berguna di mana kelompok terkaya boleh menjalankan perniagaan,” kata ahli ekonomi serantau, Song Seng Wun. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI