fbpx

Sebiji tomato berat 200 gram kini RM2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KALSOM menunjukkan tomato yang dijual di gerainya di Pasar Awam Bachang, Melaka semalam. – SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Rata-rata peniaga di Pasar Awam Bachang, di sini terpaksa menjual sayur dengan kenaikan harga lebih 50 peratus apabila kos bekalan didakwa naik melambung sejak perayaan Tahun Baharu Cina.

Seorang peniaga, Roslan Hassan, 56, berkata, kini sebiji tomato seberat 200 gram dijual pada harga RM2 selepas mengambil kira kos dikenakan pembekal pada kadar RM11 se­kilogram.

Katanya, lebih membebankan apabila harga borong itu tidak dimaklumkan lebih awal, hanya setelah bekalan dikatakan dihantar dari Cameron Highlands.

“Sekarang kita terpaksa jual tomato sebiji pada harga RM2 bagi 200 gram, kerana harga daripada pemborong naik mendadak mencecah RM11 sekilogram.

“Kita tempah petang, malam (bekalan) dah bergerak baru dia beritahu harga, kalau kita tahu awal memang tidak akan ambil tomato ini, nak jual macam mana kalau mahal sangat, membebankan peniaga dan pengguna,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Pasar Awam Bachang, di sini semalam.

Tambahnya, selain tomato, sayur lain yang mengalami pe­ningkatan harga adalah timun Jepun pada harga RM9.50 sekilogram dan kacang panjang RM10 sekilogram.

“Dahulu timun Jepun ini harga­nya paling mahal pun RM7, sekarang dah jadi RM9.50, begitu juga kacang panjang, memang naik mendadak.

“Bendi pula memang tak ada (bekalan) sejak beberapa hari lepas, susah nak dapat. Mungkin juga disebabkan cuaca hujan dan angin kuat yang menyebabkan putik bunganya gugur,” katanya.

ROSLAN menunjukkan invois pembayaran yang dibuatnya kepada pembekal dari Cameron Highlands.

Sementara itu, Kalsom Kasim, 62, turut meluahkan perkara sama, malah menurutnya, sayur terung dan timun juga mengalami peningkatan mendadak sekitar harga RM8 sekilogram.

“Barang (bekalan sayur) sekarang semua peniaga berebut-rebut beli sebab tak banyak, tapi kalau beli dengan orang luar lagi mahal naik RM1, lagi susah nak jual,” katanya.

Ujar seorang lagi peniaga yang enggan dikenali, timun me­ngalami kenaikan lebih 50 peratus dengan kos bekalan RM6.50 sekilogram.

“Dulu timun ni paling mahal pun hanyalah RM3 sekilogram, sekarang sudah mencecah RM6.50, macam mana kami nak jual, takkan nak ambil untung 20 sen sahaja?.

“Nak jual mahal kasihan pe­langgan, kalau sayur satu plastik kecil mencecah RM10, macam mana kita nak tampung kos per­belanjaan yang lain?,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI