KUALA KRAI – Seorang remaja maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh sebuah kereta yang sedang membelok di simpang tiga di jalan Kampung Pemberian di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, Mohamad Akmal Aiman Abdullah, 17, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pembonceng, Muhamad Radzhan Madzlin, 15, patah tulang paha.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Suzaimi Mohamad berkata, siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) berusia 48 tahun sedang perjalanan pulang ke rumahnya dari Kampung Pemberian ke Kampung Manjor di sini.
Menurutnya, semasa tiba di simpang tiga di Kampung Pemberian, pemandu kereta terbabit membelok masuk ke simpang kanan sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dari arah tepi sebelah kiri keretanya.
“Pemandu itu kemudian menyedari keretanya telah dirempuh sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z yang dinaiki dua remaja dari arah laluan sebelah kiri.
“Insiden itu menyebabkan Mohamad Akmal Aiman meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk dibedah siasat. Rakannya masih belum sedarkan diri kini dirawat di zon merah hospital sama,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Suzaimi, pemandu kereta terbabit yang merupakan OKU selain menghidap angin ahmar tahap tiga bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.-KOSMO! ONLINE