PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat menyambut perayaan Thaipusam kepada seluruh penganut dan masyarakat Hindu di Malaysia.
Hantaran ucapan ringkas tersebut dimuat naik oleh beliau menerusi media sosial hari ini.
“Perayaan serta budaya yang pelbagai di Malaysia adalah hujah ampuh untuk kita saling kenal dan membina persefahaman tatanan (aturan atau sistem) negara bangsa yang majmuk.
“Mari bersama kita mengukuh perpaduan dan kerukunan demi pertiwi tercinta,” katanya hari ini.
Ucapan perayaan Thaipusam turut dimuat naik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi media sosial hari ini.
“Dari Georgetown di Pulau Pinang sehinggalah Batu Caves di Gombak, jutaan penganut agama Hindu akan merayakan sambutan ini dengan tekun dan kemeriahan.
“Buat semua, raikan kemeriahan ini dengan penuh harmoni dan kesederhanaan. Patuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan perayaan dapat disambut dengan lancar,” kata Ahmad Zahid.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, mewakili seluruh keluarga besar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), beliau mengucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada semua khususnya penganut agama Hindu di negara ini.
“Diharapkan kemeriahan Thaipusam pada tahun ini menjadi cerminan masyarakat Malaysia Madani yang penuh keterbukaan dan saling hormat menghormati sesama warganya,” ujarnya.
Sementara itu, Fadillah berkata, semoga perayaan Thaipusam yang disambut rakyat Malaysia beragama Hindu dapat diraikan dengan penuh makna dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan hubungan antara kaum di negara kita.
“Peliharalah perpaduan, keharmonian dan sifat saling menghormati sesama kita yang menjadi teras kemakmuran serta kesejahteraan Malaysia tercinta,” katanya. – KOSMO! ONLINE