fbpx

Penduduk Orang Asli bimbang mati dipijak gajah liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POKOK pinang antara tanaman yang dimusnahkan gajah liar di Kampung Simoi Baru, Lipis semalam.

LIPIS – Kira-kira 300 orang penduduk Orang Asli Kampung Simoi Baru, di sini kembali diselubungi ketakutan selepas 11 ekor gajah liar mengganas dan mula memasuki perkampungan ber­kenaan sejak tiga hari lalu.

Kehadiran gajah berkenaan menimbulkan keresahan kepada mereka yang masih tidak dapat melupakan tragedi seorang wanita, maut dipijak gajah pada 6 ­Disember tahun lalu.

Tok Batin Kampung Simoi Baru, Batin Bah Jong Kerang berkata, selepas dua bulan gajah tersebut dikatakan ‘bersembunyi’ di Hutan Simpan Ulu Jelai di sini, haiwan itu kembali menceroboh kampung ber­kenaan sejak tiga hari lalu terutamanya pada waktu malam.

“Hasil tanaman penduduk seperti pokok pisang, tebu, getah, durian, lada, serai serta sayuran habis musnah dipijak, dipatah dan dicabut menyebabkan kami mengalami kerugian.

“Gajah liar ini bersembunyi dalam hutan berdekatan dan akan masuk ke kawasan kampung pada waktu malam de­ngan memusnahkan tanaman ­berkenaan. Apa yang paling membimbangkan penduduk sekiranya gajah itu menceroboh kediaman pula,” katanya di Kampung Simoi Baru dekat sini semalam.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Norfini Ajik, 45, berkata, sudah tiga malam dia dan ke­luarganya tidak dapat melelapkan mata berikutan kehadiran gajah liar di kawasan kampung.

Katanya, jarak rumahnya de­ngan rumah mangsa yang maut dipijak gajah liar dua bulan lalu 30 meter sahaja menyebabkan dia bimbang gajah berkenaan sekali lagi mengamuk di kawasan rumah.

“Saya takut dan berjaga hingga­ ke waktu pagi setelah menge­tahui gajah liar masuk semula dan pa­ling takut sekiranya haiwan ini mendekati dan menggoyang rumah saya, takut ada terkorban,” ujarnya.

Sementara itu seorang lagi penduduk, Bah Liput, 50, ber­kata mereka mengalami kerugian ­kerana hasil tanaman sayuran banyak dicabut dan rosak termasuk pokok tebu, pokok getah dan pokok durian.

Ujarnya, penduduk tidak tahu hendak berpindah ke mana ke­rana kampung tersebut sudah lama dibuka sejak lebih 50 tahun lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI