fbpx

Pastikan tiada trak pikap Thailand ‘curi’ diesel subsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PIKAP dari Thailand mengisi diesel tanpa subsidi di Stesen Minyak Double di Kawasan Industri Padang Besar semalam.

PADANG BESAR – Penduduk meminta agar Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menguatkuasakan larangan baharu penjualan ­petrol RON95 dan diesel bersub­sidi kepada kenderaan ­asing di negeri itu dengan lebih tegas lagi.

Seorang penduduk, Zulaikha Zakaria, 44, berkata, larangan pembelian minyak bersubsidi itu perlu dikuatkuasakan sepenuhnya di seluruh stesen minyak di Perlis.

“Kita menerima baik peraturan baharu ini kerana ia mampu mengelak ketirisan minyak bersubsidi kepada warga asing.

“Namun, penguat kuasa KPDN dengan kerjasama pihak berkuasa lain perlu membuat pemantauan secara berkala bagi mengelak ada warga asing yang masih mahu mengambil kesempatan,” katanya di sini semalam.

Katanya, dia percaya akan ada kenderaan nombor pendaftaran Thailand terutama trak pikap yang akan cuba mengisi diesel bersubsidi di stesen-stesen ­minyak di sempadan Malaysia-Thailand.

“Saya rasa lega sedikit kerana sebelum ini kami terpaksa ber­sesak dengan trak pikap Thailand ini yang memenuhi stesen ­minyak terutamanya pada sebelah pagi,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Noradi Izwan Mohamad, 50, berkata, dia berharap larangan itu dapat dikuatkuasakan di negeri-negeri sempadan lain seperti Kedah, Kelantan dan Johor.

“Saya lihat peraturan baharu ini sangat baik yang mana pihak penguat kuasa lebih mudah untuk membuat pemantauan bila ken­deraan asing ini hanya dibenarkan mengisi minyak tanpa subsidi,” katanya.

Pemilik Stesen Minyak Double, Datuk Romli Bakar berkata, hasil pemerhatian kasarnya mendapati, jumlah ken­deraan asing yang mengisi minyak di stesennya meningkat kira-kira 40 peratus sejak larangan baharu diperkenalkan pada Rabu lalu.

“Penguatkuasaan larangan mengisi bahan bakar di stesen bersubsidi dilihat mampu mengurangkan isu ketirisan dan kesan-kesan negatif hasil aktiviti tersebut di kawasan sempadan.

“Pelaksanaan arahan ini juga mampu mengurangkan aktiviti ‘angkut’ minyak bersubsidi dari stesen ke stesen sebelum dihantar ke negara jiran,” katanya ketika ditemui di Kawasan Perindustrian Padang Besar, di sini semalam.

Bermula 1 Februari lalu, kenderaan bernombor pendaftaran asing tidak lagi dibenarkan me­ngisi petrol RON95 dan diesel bersubsidi di semua 38 stesen mi­nyak di seluruh Perlis.

Perlis menjadi negeri pertama menguatkuasakan larangan tersebut dengan KPDN melalui Bahagian Penguat Kuasa mengambil langkah proaktif melakukan advokasi kepada kesemua 40 pe­ngusaha stesen minyak termasuk dua tanpa subsidi sejak 27 Januari lalu.

Tinjauan di Stesen Minyak Double selama lebih sejam mendapati, puluhan kenderaan perdagangan dan pikap dari negara jiran mengisi bahan diesel Euro5 yang dijual pada harga RM3.51 seliter dan petrol RON95 pada harga RM3.25.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, kegiatan trak pikap dari Thailand yang rancak ‘beratur’ di stesen minyak berhampiran sempadan di negeri ini bagi meme­nuhkan tangki dengan diesel bersubsidi sebelum pulang ke negara mereka. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI