SEBERANG PERAI – Nelayan sungai dan pantai merangkumi Parlimen Kepala Batas serta Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara di sini berdepan dilema ekoran pendapatan yang diperolehi saban hari dikatakan semakin merosot.
Pengerusi Koperasi Nelayan Sungai Korok dan Air Hitam, Mohd Said Abdullah,61, berkata, golongan nelayan terus terhimpit apabila hasil tangkapan laut kini tidak mampu lagi menampung modal yang dikeluarkan mereka.
Menurutnya, selain faktor cuaca yang tidak menentu, pencemaran yang berlaku menyusutkan lagi hasil tangkapan udang dan ikan di sekitar perairan berkenan.
“Jikalau dahulu nelayan dapat hidup selesa, kini sebaliknya yang berlaku kerana mahu tangkap udang galah seekor pun susah. Justeru, kami memohon agar kerajaan dapat menaikkan elaun sara hidup (ESH) kepada RM500 sekali gus meringankan beban yang didepani nelayan.
“Sebelum ini, nelayan sungai dan laut masing-masing menerima elaun bulanan sebanyak RM250 dan RM300, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung pengeluaran kos seperti enjin bot dan pukat,” katanya di sini petang semalam.- KOSMO! ONLINE