fbpx

‘Menggeletar jumpa orang, ada ‘momok’ dalam kepala’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REMY Ishak cuba melawan 'gangguan' yang dihadapinya dengan banyak melakukan senaman dan banyak melakukan aktiviti bersama rakan-rakan.

PETALING JAYA – Terbuka berkongsi tentang masalah kesihatan mental yang dihadapinya sejak beberapa tahun lalu, pelakon Remy Ishak mengakui kian takut bertemu orang ramai disebabkan penyakit tersebut.

Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak memberitahu, dia sendiri tidak pasti tentang masalah mental yang dihadapinya.

“Saya perasan benda ini berlaku lepas dapat vaksin Covid-19. Saya tak tahulah sama ada sebab vaksin atau perkara lain tapi kesihatan mental saya semakin memburuk ketika pandemik Covid-19.

“Bukan saya nak salahkan vaksin tapi kesannya terhadap orang kan berbeza-beza. Dulu lagilah waktu orang dah tak pakai pelitup muka sangat, saya sampai takut nak keluar rumah. Takut nak berhadapan dengan orang luar.

“Takut kalau jumpa orang tak tahu nak respons bagaimana dan tak tahu apa nak dibicarakan. Sampai kadang-kadang, tengah bersenam di gimnasium, ‘benda’ itu datang, saya tak boleh bernafas. Jadi panik dan terus rasa nak balik rumah, kurung diri di dalam bilik,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pelakon filem Harum Malam itu berkata lagi, dia cuba untuk mengawal masalah tersebut dan dari hari ke hari sehingga sekarang, keadaan semakin bertambah baik namun masih berdepan perkara sama.

“Saya sedar masalah berkaitan mental ini memang tak boleh simpan sendiri. Kita kena bercakap dengan orang dan lagi bagus, pihak profesional. Kita kena lawan ‘momok’ dalam kepala.

“Lagi kita menyendiri, lagi ‘benda’ itu akan kacau. Jadi, untuk tahun ini, saya nak tumpu perhatian jaga kesihatan mental. Saya tak nak benda ini mengganggu hubungan saya dengan orang sekeliling dan kerjaya sebagai pelakon.

“Saya sibukkan diri buat aktiviti dengan kawan-kawan. Pergi jogging, beriadah dan berehat bila perlu. Itu semua terapi. Saya percaya bukan saya seorang yang ada masalah begini.

“Ramai di luar sana sedang berdapan masalah sama dan runsing bagaimana nak mengatasinya. Semoga kita semua ditunjukkan jalan keluar daripada ‘sakit’ ini,” katanya.

Terdahulu pada 2019, Remy yang juga suami kepada usahawan, Ezza Yusof mengaku mempunyai masalah depresi sehingga menyebabkan dirinya enggan keluar rumah.

Disebabkan perihal terbabit, Remy, 41, menyuarakan hasrat untuk bertemu pakar psikiatri dan turut mengakui mula mengambil beberapa jenis ubat yang digunakan untuk menenangkan diri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI