PUTRAJAYA – Hubungan baik dengan enam negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) membolehkan Malaysia dilantik menjadi hos sidang kemuncak bersama blok itu.
Justeru, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, Malaysia bakal menganjurkan program sulung tersebut sama ada pada September atau Oktober depan.
“Pihak GCC sendiri mengemukakan cadangan itu kepada ibu pejabat ASEAN supaya Malaysia jadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC,” katanya menerusi kenyataan.
Mengulas lanjut, Zambry walau bagaimanapun berkata bahawa tarikh untuk penganjuran sidang kemuncak ASEAN-GCC masih lagi dalam perbincangan sebelum dimuktamadkan.
Semalam, Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di Jakarta, Indonesia bersetuju agar Malaysia diberikan tanggungjawab sebagai Koordinator Sekretariat ASEAN-GCC.
Pelantikan tersebut adalah sejajar dengan keputusan dicapai pada Mesyuarat Koordinasi ASEAN Ke-32 yang turut diadakan di ibu kota republik berkenaan sehari sebelum itu.- KOSMO! ONLINE