DUNGUN – Kartunis lagenda, Fatah Ngah, 70, yang terkenal dengan kartun, Lagak A. Mamud dalam majalah humor, Gila-Gila meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Kampung Alor Tembusu di sini hari ini.
Allahyarham yang juga abang komposer terkenal, Manan Ngah meninggal dunia di sisi adik bongsunya, Laili, 50, pada pukul 1.45 pagi.
Manan, 62, berkata, Fatah yang merupakan abang ketiganya daripada tujuh beradik telah terlantar akibat penyakit saraf sejak lebih lima tahun lalu.
“Pada mulanya arwah abang saya (Fatah) mengadu sukar membuang air besar dan kurang selera makan pada pagi semalam.
“Adik bongsu saya (Laili) perasan arwah muntah cecair berwarna hitam pada pukul 6 petang semalam,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Alor Tembusu di sini hari ini.
Terdahulu jenazah Fatah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya di sini pada pukul 12 tengah hari.
Manan berkata, adiknya, Laili menjaga abang mereka sepanjang malam sehinggalah arwah menghembuskan nafas terakhir.
Pemenang Juara Lagu 1986 tersebut berkata, Fatah merupakan antara kartunis pelopor majalah Gila-Gila yang mula menemui pembaca pada tahun 1979.
“Kartun Lagak A. Mahmud lukisannya dalam dialek Terengganu telah diinspirasi daripada kehidupan sehariannya di bandar Dungun pada tahun 1970-an dan 1980-an.
“Arwah Fatah juga guru muzik pertama saya. Dia mengajar saya bermain gitar sehingga menumbuhkan minat saya untuk menjadi pemuzik,” katanya. – KOSMO! ONLINE