PETALING JAYA- Malaysia berada di tangga ketiga peratusan jalan berturap iaitu 80.5 peratus daripada semua jumlah jalan seluruh negara.
Menurut laporan yang dikeluarkan Thailand Skyline, peratusan tersebut juga telah meletakkan Malaysia berada di tangga ke-48 jalan berturap di dunia dengan jumlah keseluruhan sepanjang 116,119 kilometer.
Laporan kajian tersebut telah mengambil data keselurahan jalan berturap dari tahun 2017 hingga 2020.
Singapura menduduki tangga pertama di ASEAN malah di dunia apabila mempunyai 100 peratus jalan berturap dengan panjang 3,500 kilometer.
Manakala di tangga kedua negara ASEAN adalah milik Thailand dengan mempunyai 98.5 peratus jumlah jalan berturap daripada jumlah keseluruhan jalan di negara tersebut.
Thailand mempunyai sejauh 304,275 kilometer jalan berturap yang meletakkan negara tersebut berada di tangga ke-20 di dunia.
Sementara itu, di tangga ke-4 ASEAN adalah Brunei dengan 77.2 peratus jumlah jalan berturap daripada jumlah keseluruhan jalan di negara Borneo itu.
Manakala Kemboja berada di tangga ke-10 di ASEAN yang hanya memiliki 8.1 peratus atau 12,239 kilometer jalan berturap daripada jumlah keseluruhan jalan di negara tersebut. – KOSMO! ONLINE.