HAMPIR tujuh tahun berkecimpung dalam industri seni hiburan sebagai pelakon, nama Jaja Iliyes semakin kerap menghiasi televisyen.
Beberapa buah naskhah popular seperti 7 Hari Mencintaiku, Bidadari Salju dan Ajari Playboy Itu juga mengangkat namanya berdiri sebaris dengan pelakon-pelakon popular lain sehingga kini.
Pesona yang dimiliki pemilik nama lengkap Siti Hajar Iliyes itu bukan sahaja terletak pada raut wajahnya yang jelita, tetapi juga sifatnya yang sopan dan lemah lembut turut menjadi nilai tambah buat pelakon asal Segamat, Johor itu.
Kesempatan Pose bertentang empat mata dengan Jaja sewaktu majlis tayangan perdana filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang baru-baru ini mengungkap serba sedikit pengalamannya membintangi filem arahan Allahyarham Mohd. Firdaus Mohamad Haniff atau lebih mesra dikenali sebagai Pitt Haniff itu.
Ujar Jaja, Coast Guard Malaysia: Ops Helang merupakan filem pertama lakonannya selepas terbabit dalam berpuluh-puluh buah drama.
Membawakan watak sebagai Nurul Lestari, Jaja berkata dia perlu bermain banyak emosi untuk menghidupkan karakternya dalam filem tersebut.
“Watak saya dalam filem ini perlu sentiasa berada dalam emosi ketakutan dan sedih. Saya memang suka watak sebegitu kerana mencabar mental dan fizikal saya.
“Walaupun saya tidak terlibat dengan sebarang babak berbentuk aksi, tetapi watak saya juga berat kerana perlu sentiasa berperang dengan emosi setiap masa.
“Bila ada adegan dikasari, saya kena kuatkan diri supaya tidak kelihatan lembik selain boleh mencederakan diri sendiri,” ujarnya.
Bagaimanapun, jauh di sudut hatinya, Jaja sebenarnya menyimpan hasrat untuk membawakan watak aksi walaupun dirinya dikenali sebagai pelakon yang memiliki perwatakan lemah lembut.
Kata Jaja, dia mahu membuktikan kepada peminat bahawa dia juga boleh membawakan watak lasak dan berat.
“Teringin sangat nak bawa watak aksi walaupun perwatakan saya lemah lembut.
“Saya memang menunggu peluang itu. Sebelum ini saya pernah membintangi sebuah telefilem aksi, tetapi tidaklah terlalu lasak.
“Saya rasa tidak puas. Seronok kalau dapat buat lagi.
“Tapi kalau nak buat filem aksi, saya kena pastikan ada stamina mencukupi,” katanya.
Tambah Jaja, jika tanpa persediaan, keinginannya kelak boleh menyusahkan pihak lain kerana gagal mempamerkan kemampuan.
“Saya kena lihat kemampuan sendiri. Tapi kalau ikutkan hati, teringin sangat nak cuba. Tapi kalau saya buat juga tetapi akhirnya menyusahkan orang lain, jadi saya tidak mahu.
“Malah arwah abang Pitt sendiri banyak beri dorongan dan percaya saya boleh lakukannya,” kata Jaja.
Bercakap tentang pengalaman bekerja dengan arwah Pitt, Jaja sebak apabila mengenang semula peristiwa yang menimpa anak kepada seniwati Fauziah Nawi itu.
Kongsi Jaja, kali terakhir bertemu arwah ketika mahu bersiap untuk pulang ke Kuala Lumpur selepas penggambaran melibatkan babaknya dalam filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang telah selesai.
“Ketika itu masih berbaki beberapa lagi babak. Tapi untuk bahagian saya telah selesai. Saya memang tahu arwah mahu pergi memancing dan sempat menegurnya ketika di hotel.
“Saya tanya dia (arwah), nak pergi memancing ke? Malah dia sempat mengajak saya untuk ikut serta, namun saya menolak.
“Itulah kali terakhir kami bersembang semasa hendak pulang ke Kuala Lumpur sebelum mendapat berita tentang tragedi yang menimpa arwah akibat lemas,” katanya.
Menyifatkan arwah Pitt sebagai seorang pengarah yang baik, Jaja amat menggagumi kebolehan dan idea Pitt kerana dapat menghasilkan sebuah filem hebat yang juga menjadi filem pertama dan terakhir sepanjang hayat.
“Bekerja dengan arwah sangat senang dan menyeronokkan. Ini juga merupakan filem pertama dan terakhir arahan arwah.
“Saya sangat menghormatinya kerana arwah selalu membantu saya. Malah saya kagum dengan ideanya untuk mengarah filem ini. Kalau arwah masih ada, dia pasti akan pergi lebih jauh dalam bidang perfileman,” tutup Jaja.