PETALING JAYA – Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menggesa Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menyiasat segera hantaran Facebook Sam MY kerana dikatakan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Fahmi, hantaran yang dibuat individu itu adalah satu fitnah jahat dan sangkaan buruk terhadap Perdana Menteri.
“Pemfitnah ini telah menggunakan gambar lama yang mana kenalan saya iaitu Abd Rahman Yusof (individu di kanan gambar) telah meninggal dunia pada 8 Jun 2021.
“Gambar itu adalah fitnah. Oleh itu, saya telah mohon SKMM, PDRM siasat segera,” jelasnya hari ini.
Terdahulu, pemilik akaun Sam MY memuat naik gambar Anwar dan beberapa individu lain sedang menikmati hidangan makanan di laman Facebooknya.
Menerusi hantaran tersebut, Sam MY mempertikaikan cara mereka berbelanja.
Jelasnya, rakyat Marhaen disuruh makan menu Rahmah kononnya berjimat cermat dan bijak berbelanja tetapi mereka berminyak bibir makan daging unta. – KOSMO! ONLINE.