SHAH ALAM – Tindakan pantas bomba memadamkan kebakaran sebuah kedai alat ganti kenderaan berjaya mengelak api merebak ke deretan premis lain di pekan Tanjong Karang di sini, hari ini.
Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 12.14 tengah hari.
Katanya, operasi itu disertai sepasukan 34 anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, Sekinchan, Sungai Besar dan Batu Arang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati api masih marak memusnahkan kedai dua tingkat di tepi jalan berkenaan. Kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal sekali gus mengelak ia merebak ke premis berdekatan lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Norazam,kedai berkenaan terbakar kira-kira 90 peratus dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 1 tengah hari tadi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan-KOSMO!ONLINE