PETALING JAYA – Bajet 2023 yang dijadualkan dibentang semula pada 24 Februari ini diharap mampu memulihkan ekonomi negara sekaligus membantu masyarakat mendepani kenaikan kos sara hidup.
Kakitangan sebuah syarikat konsensi, Mohd. Taufiq Manap, 44, berkata, keadaan ekonomi jika berjaya dipulihkan sepenuhnya membolehkan kos sara hidup masyarakat diturunkan.
“Saya juga berharap bajet kali ini tidak hanya fokus golongan B40, tetapi juga M40. Institusi kewangan perlu berjiwa rakyat dan bantuan untuk meningkatkan ekonomi rakyat diperluaskan.
“Perlu juga fokus kepada golongan generasi muda. Tarik pelabur dari luar untuk bina kitaran ekonomi negara. Sektor komunikasi 5G dipertingkat supaya rakyat tidak ketinggalan dalam arus teknologi semasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Pemandu lori, Syafawi Tahir, 44, pula berharap satu lagi pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan.
“Benarkan pengeluaran secara bersasar untuk yang masih ada simpanan mencukupi dalam KWSP. Harap kerajaan semak juga bantuan tunai (Sumbangan Tunai Rahmah) kerana ada yang layak tak dapat,” katanya.
Bagi peniaga makanan, Sarizal Musa, 43, satu mekanisme yang benar-benar berkesan dalam menangani kenaikan kos bahan mentah perlu diwujudkan.
“Buat peniaga seperti saya kenaikan kos bahan mentah paling mustahak. Kami tidak boleh menaikkan harga jualan kerana berisiko hilang pelanggan.
“Suatu dasar yang benar-benar dapat mengurangkan kos bahan mentah perlu diwujudkan segera,” katanya.
Peniaga makanan, Mohd. Padhil Ali, 50, berkata, kerajaan perlu memastikan harga barang seperti gula, tepung, minyak masak dan telur ayam yang digunakan setiap hari kembali turun.
Kakitangan kerajaan cuma mahu dikenali sebagai Zamri, 39, pula berkata, Bajet 2023 diharap mengekalkan dan menambah inisiatif untuk penjawat awam.
“Termasuk Kenaikan Gaji Tahunan (KGT), Bantuan Khas Kewangan dan Bantuan Khas Aidilfitri RM600,” katanya. -KOSMO! ONLINE