PARIT BUNTAR – Sebanyak 52 unit bubu naga telah dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kurau pada kedudukan 10.2 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau kira-kira pukul 3.15 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan di perairan itu, pihaknya telah mengesan bendera yang dipasang dalam agak mencurigakan.
“Kita syak penanda bendera itu menunjukkan pemasangan bubu naga dikawasan tersebut. Hasil dari pemeriksaan yang telah dijalankan dilokasi itu, APMM Zon Kuala Kurau menemukan sebanyak 52 unit bubu naga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua bubu naga itu dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
“Anggaran rampasan bubu naga kali ini bernilai sebanyak RM3,640 dengan nilai RM70 setiap unit. Kes disiasat dibawah Seksyen 11 (3)(C) Akta Perikanan 1985,” katanya.- KOSMO! ONLINE