fbpx

Tata rias Scandinavian-industrial serlah ciri elegan, maskulin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMILIHAN dinding rona putih dengan elemen kayu pada perabot berjaya menyerlahkan konsep Scandinavian.

GABUNGAN dua konsep dalam menata rias rumah mampu menjelmakan nilai estetika tersendiri sekiranya pemilik rumah pandai menyatukan elemen-elemen yang ada agar nampak senada.

Bagi pemilik nama Mohd. Firdaus Ali, 37 dan pasangan, Nurul Salina Sani, 35, persamaan falsafah minimalis dengan konsep Scandinavian dan industri membuat mereka tertarik menggunakan gabungan itu sebagai tema kediaman yang terletak di Serene Height, Semenyih, Selangor.

Konsep Scandinavian yang berinspirasikan kehidupan masyarakat negara rantau Nordik itu menerapkan gabungan tekstur dan warna lembut untuk menjadikan hiasan moden tampak anggun, kemas serta selesa.

Sementara konsep industri pula menyerlahkan ciri maskulin dengan menyuaipadankan material tekstur batu bata, konkrit atau kayu yang didominasi warna gelap serta monokrom.

Memulakan proses hiasan dalaman rumah teres dua tingkat berkeluasan 6.7 x 23 meter persegi itu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mohd. Firdaus mengakui internet merupakan sumber utamanya mendapatkan ilham.

“Saya beli rumah ini pada 2019. Sementara tunggu dapat kunci, PKP telah dilaksanakan di negara ini. Tempoh ini membolehkan saya ada masa untuk mencari ilham dalam internet.

“Idea asal, saya mahu buat konsep Scandinavian. Namun, selepas saya buat tinjauan di beberapa platform media sosial, saya tertarik pula dengan konsep industri.

“Oleh itu, saya buat keputusan untuk menggabungkan kedua-dua tema berkenaan untuk kediaman ini,” katanya yang berkongsi dekorasi rumahnya menerusi laman Instagram, ruma_abam.

Tambah bapa kepada tiga orang anak itu, dia diberitahu oleh netizen bahawa rumahnya turut memiliki elemen konsep mid century modern.

Pendapat itu ada benarnya sekiranya dinilai berdasarkan kreativiti Mohd. Firdaus dalam menambah sentuhan geometri bagi memenuhi ruangan dalaman rumahnya.

Garis-garis geometri jelas kelihatan pada susunan perabot, perhiasan dinding serta permaidani yang memberikan ‘signal’ tentang pembahagian antara ruang.

Pada bahagian dapur, Mohd. Firdaus menggunakan elemen industrial menerusi pemilihan tona monokrom, permukaan kayu dan besi.

Sementara itu, ciri-ciri Scandinavian jelas pada pemilihan rona putih pada bahagian dinding dan disertai dengan elemen kayu pada perabot di ruang tamu serta ruang makan.

Pemilihan elemen kayu tersebut dilihat berupaya menerangi serta membiaskan cahaya dengan efisien di dalam kediaman.

Penggunaan cermin di ruang makan turut memberikan ilusi keluasan pada rumah dan menyerlahkan keberadaan perabot, sofa dan hiasan tumbuhan.

Sentuhan industrial pula kelihatan pada penggunaan tona monokrom, permukaan kayu dan besi di bahagian dapur serta beberapa sudut.

Penggunaan material besi hitam pada tangga, rak barang, kerusi bar dapur serta lampu menyerlahkan sisi dingin, keras dan usang, sekali gus membuatkan suasana kediaman tampak elegan.

“Saya suka ciri-ciri minimalis dengan skema warna yang ada pada konsep industrial dan Scandavian iaitu warna-warna gelap serta coklat digabungkan bersama tekstur lembut,” jelasnya.

Bercakap mengenai ruang kegemarannya, Mohd. Firdaus memilih ruang masuk rumahnya kerana bahagian itu dihias menggunakan ‘air tangannya’ sendiri.

Ruang makan dan ruang tamu turut menjadi tempat kegemarannya kerana banyak ilham diperoleh bagi menjayakan hiasan dalaman rumah bernilai sekitar RM10,000 itu.

“Ruang masuk ke rumah merupakan titik permulaan hiasan dalaman ini. Saya hias sendiri bahagian ini hasil ilham daripada YouTube,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI