PETALING JAYA – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat ke kediaman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Anwar dengan beberapa foto turut dikongsi di platform media sosial itu..
“Menjunjung kasih atas kesudian DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkunjung ke Seri Perdana hari ini,” katanya.
Pada pertemuan tersebut, Anwar mempersembahkan taklimat kepada Sultan Ibrahim berkenaan lawatan kerja beliau ke Singapura, pada 30 Januari lalu.
“Saya turut berkesempatan maklumkan kepada Baginda Tuanku berkenaan lawatan kerja saya bersama delegasi ke Singapura baru-baru ini.
“Daulat Tuanku!,” ujarnya.
Terdahulu, Anwar memaklumkan Malaysia dan Singapura bersetuju mengadakan rundingan lebih terperinci terhadap langkah republik itu menambak kawasan sekitar Batu Puteh dalam masa terdekat.
Selain itu, Anwar turut membangkitkan perkara itu dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam lawatan rasminya ke negara jiran itu. – KOSMO! ONLINE