SIAPA sangka, Dayang Nurfaizah tergerak hati menzahirkan kesinambungan atau sekuel diskografi ikoniknya, Belagu.
Belagu II, sebuah album studio lengkap serba-serbi yang memberi keadilan kepada untaian lagu-lagu malar segar dendangan penyanyi legenda tanah air.
Dari segi lantunan vokal Dayang, permainan muzik orkestra yang ‘mahal’ dan paling penting nilai komersial yang dihadirkan menerusi pembikinan kulit album.
Sebelum ulasan ini terus dikembangkan, ingin penulisan merakamkan apresiasi terima kasih buat Dayang dan pasukan kerana dengar rasa hati pendengar.
Risiko, kulit album ‘mahal’
Zaman sekarang, rata-rata pemuzik khalayak sudah tidak menerbitkan album fizikal, namun masih ada yang sanggup mendepani risiko untung rugi atas nama seni muzik. Untuk itu, pasukan
Dayang layak diberikan pujian. Terima kasih untuk Belagu II!
Pertama sekali, penulis ingin rangkumkan betapa Dayang sudah dengan ranumnya matang sebagai seorang vokalis unggul.
Masih ingat sewaktu masih berstatus remaja, selalu timbul rasa sangsi sekiranya penyanyi asal Sarawak itu menyanyikan atau mendendangkan lagu berentak asli atau tradisional.
Hal ini kerana, Dayang sangat kuat sebagai seorang penyanyi R&B. Melihat atau menjadi saksi dirinya bercambah menjadi seorang penyanyi versatil, itu pengalaman yang sangat luar biasa.
Trek pilihan
Lantas, antara sembilan trek yang dimuatkan dalam Belagu II, mana satu yang menjadi pilihan hati?
Secara peribadi, semua trek merupakan kegemaran walaupun saat pertama dihayati.
Namun, jika ditanya tentang Top 3, jawapan penulis adalah Jauh Di Mata diikuti Dara Rindu dan Ketipang Payung.
Mendengar Jauh Di Mata seperti memberi perutusan jiwa kepada orang jauh.
Buat penulis secara peribadi, kerinduan terhadap Allahyarham bapa terasa semakin menebal saat menikmati lagu tersebut.
Kadang-kadang, ketika jiwa terasa sunyi, mendengar karya tersebut membuatkan mata berhabuk dan dada bergelombang sebak.Itu tandanya, penghayatan emosi dan listrik vokal Dayang dalam lagu tersebut benar-benar berkesan.
Orkestra ‘mahal’
Semuanya disempurnakan lagi dengan permainan orkestra yang mendapat sentuhan Budapest Scoring Orchestra serta kerja gubahan susunan muzik daripada maestro ulung, Aubrey Suwito.
Menikmati Belagu II membawa pendengar ke satu perjalanan dimensi muzik yang berkelas tinggi memberi dampak sungguh membekas.
Selain permainan muzik mahal dan luar biasa, seperti apa yang ditulis dalam perenggan terdahulu, apa yang meganya tentang Belagu II adalah kulit album ‘papan atas’
Tiada siapa yang mempunyai kebolehan bikin album seperti Dayang. Belagu II setakat ini yang terbaik buat tahun 2023.
Barangkali masih terlalu awal, namun itu kesimpulan yang layak memandang pasti tidak ramai yang berani mengambil risiko seperti dayang.
Terima kasih Dayang dan pasukan untuk Belagu II dan semoga kelahiran album fizikal akan terus bercambah semasa ke semasa sekali gus merancakkan industri muzik tanah air.
Setinggi-tinggi ucapan terima kasih juga kerana ‘tidak berkira’ meyanjung seni muzik.