fbpx

Liga M makin ‘panas’, kekuatan JDT bakal diuji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

RATA-RATA pasukan Liga Malaysia sedang sibuk melakukan persiapan akhir bagi memantapkan skuad masing-masing menjelang sepak mula 24 Februari ini.

Pasukan-pasukan Liga Malaysia pada musim ini bakal merebut enam trofi kejuaraan bermula dengan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Perlawanan Sumbangsih), Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, MFL Challenge Cup dan Piala MFL (Liga Simpanan B-23).

Trofi paling menjadi tumpuan sudah pastilah Liga Super apabila 14 buah pasukan bakal bersaing merebut kejuaraan itu.

Mampukah pasukan-pasukan lain menafikan hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk memenangi Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut?

Ini kerana persaingan Liga Super pada tahun ini dijangka lebih terbuka dan ‘panas’ apabila ada beberapa pasukan dilihat memiliki kekuatan serta kualiti bagi menyaingi JDT.

Dalam usaha memeriahkan Liga Malaysia, pihak MFL telah memperkenalkan beberapa pembaharuan termasuk perlawanan sebelah petang serta mengekalkan waktu sepak mula pada waktu malam.

Perlawanan waktu petang di Semenanjung akan bermula pada pukul 5.15 petang /5.30 petang dan 4.30 petang /4.45 petang di Sabah dan Sarawak.

Pada pandangan penulis, pengenalan waktu perlawanan pada sebelah petang membolehkan penyokong membawa isteri dan anak-anak bersama untuk menyaksikan perlawanan bola sepak sambil bersantai ketika hujung minggu.

Sebelum ini perlawanan hanya bertumpu pada sebelah malam, jadi tidak ramai penyokong bola sepak yang ingin membawa anak-anak ke stadium kerana bimbang mengganggu waktu tidur dan rehat mereka.

Pengenalan waktu baharu ini juga membolehkan para peminat bola sepak tempatan menyaksikan lebih banyak perlawanan menerusi siaran langsung yang dibawakan oleh penyiar rasmi Liga Malaysia.

Jika sebelum ini, peminat bola sepak hanya boleh menonton satu sahaja perlawanan secara siaran langsung pada satu-satu masa kerana diadakan serentak. Misalnya, penyokong JDT akan tertumpu pada perlawanan membabitkan pasukan mereka tanpa memperdulikan ‘game’ pasukan lain yang turut berlangsung ketika ini.

Pada musim ini juga, MFL telah mengumumkan dua stesen televisyen terkemuka tempatan iaitu Astro dan RTM selaku rakan penyiar rasmi Liga Malaysia 2023.

Walaupun ada pihak tidak bersetuju dengan pemilihan Astro memandangkan ia sebuah stesen televisyen berbayar, namun tidak dinafikan saluran itu mampu memberikan liputan menyeluruh dan menarik.

Biarpun siaran langsung Liga Malaysia sebelum ini boleh ditonton secara percuma menerusi YouTube, namun kualiti video dan audionya kurang memuaskan.

Penyiar sebelum ini juga gagal menawarkan rancangan-rancangan berkaitan Liga Malaysia seperti perlawanan tumpuan mingguan, taktikal dan ulasan selepas permainan dalam usaha merancakkan Liga Malaysia serta menarik penyokong ke stadium.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI