PETALING JAYA – Seorang lelaki warga asing bertindak berani memukul seorang pemilik kedai makan di hadapan beberapa pegawai polis, dalam satu kejadian di Bangsar, Kuala Lumpur malam semalam.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @haiqalamn, lelaki warga asing tersebut dipercayai enggan membayar kepada pemilik restoran sehingga terlibat dalam pergaduhan sebelum polis datang untuk meleraikan.
“Lelaki ini minum dan makan dekat sebuah kedai. Dia minum nak dekat 10 botol tetapi tiada duit nak bayar. Lepas itu, kurang ajar dengan pemilik dan cari gaduh.
“Dia yang mula menumbuk dulu, lepas itu baru pemilik balas. Mereka bergaduh sampai polis leraikan,” ciap @haiqalamn.
Walau bagaimanapun, ketika pihak polis sedang menyoal siasat, lelaki warga asing itu bertindak bangun dan menumbuk pemilik kedai terbabit di hadapan pegawai polis.
Pihak polis kemudiannya mengawal segera situasi tersebut dan pemilik kedai diberikan bantuan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.
Sehingga kini, ciapan tersebut telah mendapat 1,491 perkongsian dan 2,212 tanda suka.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang mengecam tindakan lelaki warga asing itu yang dianggap sengaja menimbulkan pergaduhan gara-gara tidak ingin membayar.
“Kenapa dia perlu sebut banyak kali dia datang dari negara mana? Negara kita pun ada undang-undang, harap diberikan hukuman setimpal,” komen Fara.
“Sudahlah makan dan minum lepas itu tidak mahu bayar, lagi mahu cari gaduh dengan orang,” komen pengguna yang lain pula. – KOSMO! ONLINE