EDINBURGH, Scotland – Seorang lelaki transgender yang mendedahkan ‘zakarnya’ ketika membuka pintu rumah yang diketuk oleh dua anggota polis telah didenda £320 (RM1,641) di mahkamah, lapor portal berita MailOnline semalam.
Jane Knightingale, 55, berdiri tanpa seurat benang di hadapan dua anggota polis yang dipanggil ke rumahnya di Fountainbridge, Edinburgh berikutan laporan mengenai ‘gangguan ganas’.
Knightingale kemudian enggan membenarkan dua anggota polis itu masuk ke rumah dan menggelar seorang daripada mereka sebagai fasis Nazi. Dia berkata, namanya ialah James Savile OBE apabila diminta pengenalan diri dalam insiden pada 17 Januari 2020.
Dia dibicarakan di Mahkamah Syerif Edinburgh minggu ini kerana dituduh menghalang tugas penjawat awam, mengeluarkan komen homofobia dan menyinggung perasaan perkauman serta sengaja mendedahkan diri kepada dua anggota polis itu.
Mak nyah yang bekerja sebagai pemuzik itu juga dikenali sebagai Jason Pilley. Knightingale mendakwa dia ditangkap dan dimasukkan ke dalam van polis dan dibawa ke balai polis ketika masih tidak berpakaian.
Seorang anggota polis, David Hughes berkata, dia dan rakan sekerja menemui cap tangan berdarah di pintu depan rumah Knightingale berikutan laporan gangguan ganas sekitar pukul 10.30 malam (waktu tempatan).
Menurutnya, dia terkejut apabila Knightingale membuka pintu kepada mereka dalam keadaan bogel sepenuhnya. – Agensi