fbpx

KL City kembali rampas Piala Menteri Wilayah Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN KL City meraikan kejayaan menewaskan Perak FC 3-0 pada aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi. - AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Piala Menteri Wilayah Persekutuan kembali ‘pulang’ ke ibu negara selepas Kuala Lumpur City berjaya atasi Perak 3-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Perlawanan edisi ketiga kali ini turut disaksikan oleh isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sepanjang 90 minit perlawanan, tonggak import The City Boys, Romel Morales tampil dengan aksi luar biasa apabila muncul pencetus kepada dua gol awal KL City.

Sekalipun aksi hanya berstatus bersahabatan pra musim, pengendali KL City, Bojan Hodak jelas mahukan kemenangan dengan menurunkan barisan terbaik termasuk menyenaraikan Herlison Caion dalam kesebelasan utama.

Walaupun Perak beberapa kali menguji Kevin Ray Mendoza di gawang tuan rumah, kesilapan Hafizal Mohamad Alias menjatuhkan Morales dalam kotak penalti mengundang padah dan peluang keemasan pada minit ke-33 itu berjaya disempurnakan dengan baik oleh Caion.

Sebaik aksi memasuki masa kecederaan babak pertama, Perak sepatutnya mampu menyamakan kedudukan namun rembatan Chinonso Christian Obiozor sekadar menggegar palang.

Lapan minit selepas aksi bersambung, Morales sekali lagi menjadi pencetus kepada jaringan kedua KL City dan kali ini disempurnakan oleh ketua pasukan, Paulo Josue.

Minit ke-74, sisa perjuangan The Bos Gaurus akhirnya menemui titik noktah apabila Giancarlo Gallifuoco meledak gol ketiga buat tuan rumah.

Pada edisi tahun lalu, Negeri Sembilan FC muncul juara selepas menundukkan tuan rumah 2-0. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI