LONDON – Bintang baharu Arsenal, Jorginho dijangka tidak akan menunggu lama untuk melakukan debut dan khidmatnya sudah pun ditagih oleh pasukan untuk aksi dengan Everton di Goodison Park malam ini.
Sejak mula tiba daripada kelab setempat, Chelsea, bintang antarabangsa Itali itu terus mendapat sambutan baik daripada rakan sepasukan baharunya dan disifatkan sebagai individu tepat untuk kekalkan The Gunners di puncak liga.
Kehadiran Jorginho bakal memberikan lebih banyak pilihan di bahagian tengah dan kualiti dimilikinya dijangka melonjakkan namanya sebagai pilihan utama buat pengendali pasukan, Mikel Arteta.
“Dia (Arteta) memiliki pengaruh besar kerana saya tahu dia sudah pun beberapa kali cuba mendapatkan saya, namun ianya tidak menjadi kenyataan atas beberapa alasan. Sudah pasti saya begitu teruja untuk mengharugi cabaran bahar kali ini.
“Segalanya berlaku cukup pantas dan sejujurnya saya tidak sabar untuk beraksi. Saya kini menyarung jersi dan mewakili kelab yang besar kerana ketika pramusim, saya lalui persahabatan (wakili Chelsea) menentang Arsenal dan saya dapat rasakan kelab ini mampu pamer aksi baik musim ini.
“Saya akan cuba bawa aura positif, bekerja keras dan manfaatkan pengalaman untuk bantu pasukan. Semua perkara ini saya sentiasa bawa ke mana saja saya berada.
“Sudah pasti sasaran saya adalah untuk lakukan apa saja untuk bantu pasukan raih sesuatu kejayaan,” kata Jorginho.
Ketika ini, Arsenal makin hampir untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejak 19 tahun dan kini mengumpul 50 mata, berkelebihan lima mata berbanding pencabar terdekat, Manchester City yang sudah beraksi 20 perlawanan.
Kemenangan ke atas Everton bakal menjadikan jurang lapan mata berbanding Man City yang hanya akan turun menentang Tottenham Hotspurs, awal pagi Isnin. – AGENSI