PETALING JAYA – Terjerat dengan janji manis lelaki tidak pernah ditemui, seorang pegawai perubatan wanita berputih mata selepas tersedar wang RM94,001 diserahkan kepada seorang individu adalah sindiket ‘love scam’.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa berusia 31 tahun itu berkenalan seorang lelaki melalui Facebook Januari lalu.
Katanya, lelaki tersebut didakwa bekerja di luar negara dan mereka meneruskan perbualan di aplikasi Whatsapps dan ketika itu ‘kekasihnya’ menggunakan nombor telefon luar antarabangsa.
“Selepas dua minggu, suspek meminta mangsa melakukan transaksi dalam talian untuk urusan pembelian barang bagi pihaknya.
“Mangsa telah menekan pautan yang dikongsikan suspek dan mengisi maklumat diberikan suspek iaitu data pengenalan serta kata laluan.
“Mangsa yang menggunakan akaun peribadi melakukan beberapa transaksi pembelian barang berjumlah USD18,640 (RM79,369) dan USD33,990 (RM144,729) namun akaun dibekukan tanpa sebab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fakhrudin, mangsa kemudian diminta untuk membuat pembayaran deposit bagi membolehkan akaun diaktifkan semula.
Jelasnya, mangsa terus mengikut arahan yang diberikan oleh laman sesawang dan melakukan pembayaran deposit secara beberapa kali ke satu akaun tempatan berjumlah RM23,701.
“Mangsa diberitahu jumlah berkenaan tidak mencukupi dan perlu menambah lagi, mangsa kemudian diarahkan untuk menggunakan aplikasi Huobi bagi tujuan penukaran mata wang asing.
“Wanita terbabit masih mempercayai arahan berkenaan dan melakukan empat transaksi, namun mangsa kemudian diminta untuk melakukan transaksi kepada rakan suspek,” katanya.
Tambahnya, mangsa mula sedar ditipu dan tidak melakukan transaksi kepada rakan suspek seperti diminta.
“Justeru, mangsa mengalami kerugian berjumlah RM94,001. Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dalam setiap perkenalan di dalam talian,” katanya.-KOSMO! ONLINE