PETALING JAYA – Pelakon Aeril Zafrel tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang menuduhnya dibayar Perikatan Nasional (PN) dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Tegasnya, dia memberi tempoh 24 jam kepada penyebar fitnah untuk membuat permohonan maaf secara terbuka atau berdepan saman.
“Aku jamin korang akan dapat juga saman aku. Tapi aku bagi tempoh 24 jam kepada korang untuk buat permohonan maaf terbuka dan padam hantaran itu.
“Kalau ikut undang-undang aku boleh saja tuntut ganti rugi secara kiraan mudah RM10 x 490,000 dan (itu) belum campur yang lain lagi,” katanya menerusi aplikasi Twitter.
Malah bintang filem Aku Tak Bodoh itu mencabar pihak yang turut menabur fitnah terhadap isterinya, Wawa Zainal gara-gara mereka menggayakan baju-T parti politik berkenaan untuk tampil mengemukakan bukti.
Aeril secara sinis juga menggesa individu yang menfitnah dia dan isteri segera mengajukan laporan berhubung tuduhan tersebut kepada pihak berwajib jika berada di pihak benar.
“Sementara proses mendapatkan alamat IP korang sedang dibuat, apa kata kalau korang benar buatlah tuduhan atau fitnah pada saya dengan sejelasnya dan laporkan kepada polis serta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
“Tapi jangan lupa bawa bukti yang boleh mendukung tuduhan itu. Korang nak aku buktikan kenyataan aku. Tiada masalah, jumpa di sana. Lebih tenang dan senang sikit” ujarnya lagi.
Dalam perkongsian sama, usahawan itu mengingatkan pihak berkenaan untuk berfikir dengan mendalam selain matang sebelum berbuat perkara yang merugikan diri sendiri.
Bagi individu lain yang baharu merancang mahu melemparkan fitnah sama pula, Aeril menitipkan pesanan meminta mereka membuat dulu pertuduhan lebih jelas bagi memudahkan tindakan susulan.
Aktor berusia 34 tahun itu turut berkata, tindakan mahkamah yang bakal diambil adalah atas kapasiti peribadi dirinya dan isteri yang terpalit dengan dakwaan tidak berasas sejak beberapa bulan lalu.
“Ia tidak mencerminkan mewakili parti politik berkenaan. Semoga yang lain matang dalam berpolitik,” katanya yang memuat naik tangkap layar enam pemilik akaun media sosial yang didakwa membuat tuduhan tersebut.
Kelmarin, seorang pemilik akaun Tweeter lebih dulu meminta maaf kepada Aeril selepas diberi amaran untuk berbuat demikian bagi mengelakkan tindakan saman akibat menyebarkan dakwaan sama.
Sebelum ini, menerusi hantaran lain Aeril bersumpah tidak mengambil sebarang bayaran atau diupah parti tersebut seperti yang disebarkan biarpun sudah banyak kali membuat penegasan. – KOSMO! ONLINE