SEBERANG PERAI – Hujan lebat yang berterusan sejak pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan khususnya di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS) dinaiki air sehingga tengah malam tadi.
Sehingga pagi tadi, hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) dilaporkan masih dibuka iaitu masing-masing di SPU dan SPS.
Menurut Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, kesemua mangsa banjir di SPU ditempatkan di dua lokasi iaitu di dewan komuniti dan Sekolah Agama Kubang Menerong, Tasek Gelugor.
“Setakat pukul 2 pagi tadi, hanya terdapat satu PPS yang dibuka (dewan komuniti) dan menempatkan seramai 38 orang daripada sembilan keluarga di daerah SPU ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.
Difahamkan, daripada 38 mangsa itu, 11 daripada mereka merupakan kanak-kanak, lapan warga emas dan selebihnya adalah lelaki dan wanita dewasa.
Terdahulu, tular beberapa keping gambar di laman sosial menunjukkan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad dan bekas Ahli Parlimen, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turun padang melawat beberapa lokasi yang terjejas teruk akibat banjir kilat.
Selain SPU, satu lagi PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakap Indah, Nibong Tebal dengan 21 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di situ sejak tengah malam tadi.
Dalam pada itu, portal Public Info Banjir melaporkan, paras air di beberapa sungai utama di SPU kini berada di bawah paras normal sehingga pukul 12 tengah hari tadi.
Bagaimanapun, paras air Sungai Jawi di SPS dilaporkan masih tinggi namun, berada di bawah tahap berjaga-jaga.
Ketika ini juga, rata-rata kawasan yang dinaiki air dikatakan mulai surut berikutan cuaca cerah dan tidak hujan sejak pagi tadi. -KOSMO! ONLINE