PUTRAJAYA – Operator penerbangan tempatan diseru untuk memiliki perasaan kasihan dan simpati ke atas pesakit kanser yang memerlukan pengangkutan udara bagi mendapatkan rawatan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, ketika musim perayaan utama, ada pesakit kanser yang gagal membeli tiket penerbangan kerana terpaksa bersaing dengan penumpang yang sihat.
“Sebahagian besar bukan dari golongan senang dan perlu naik kapal terbang untuk ke pusat rawatan kanser Kementerian Kesihatan yang jauh dari rumah mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Kanser Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan di auditorium Institut Kanser Negara (IKN) di sini, hari ini.
Lukanisman berkata, jurang kurang adil dan saksama itu juga amat dirasai dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) apabila perlu berinteraksi dengan masyarakat.
“Meskipun pihak kementerian ini menawarkan insentif tambang pengangkutan di bawah program Peka B40, tetapi ada tidak dapat akses terutama hak penerbangan,” kata beliau.
Justeru, beliau memohon operator udara domestik memberikan keutamaan kepada pesakit kanser yang ada janji temu kerana ia melibatkan isu nyawa. – KOSMO! ONLINE