MENINGGALKAN dunia perbankan bukanlah sesuatu yang dijangka oleh wanita itu selepas 20 tahun membina kerjaya dalam bidang berkenaan.
Bagaimanapun, dengan keadaan semasa dan usia yang kian bertambah, pada 2016, ibu kepada enam cahaya mata, Siti Zahariah Abdullah, 52, nekad meninggalkan karier yang selama ini menjadi punca rezekinya.
Tidak dinafikan bahawa memilih untuk meninggalkan kerjaya sebagai pegawai bank bukanlah satu keputusan yang mudah, namun pilihan itu harus dilakukan Siti Zahariah demi memberi lebih tumpuan kepada keluarga.
“Saya mula bekerja di bank pada tahun 1996 dan membina kerjaya di bank yang sama sehingga memutuskan untuk menerima tawaran pemberhentian secara sukarela (VSS) pada 2016.
“Ia satu keputusan yang sukar, pada usia 40-an (ketika itu) untuk mendapat kerjaya lain bukanlah mudah, namun keluarga perlu didahulukan dan itu yang membuatkan saya nekad,” katanya kepada Aura baru-baru ini.
Tambahnya, selepas tidak lagi bekerja sebagai pegawai bank, anak sulung daripada dua beradik itu memberitahu dia pernah mengalami fasa sukar menyesuaikan diri dengan keadaan tidak bekerja.
Kongsinya, adakalanya dia buntu untuk merancang apa yang boleh dilakukan bagi meneruskan kehidupan.
Bagaimanapun, selepas mendapat nasihat dan pandangan daripada keluarga dan rakan-rakan, berbekalkan minat dalam pembuatan kuih tradisional, Siti Zahariah kemudian menceburkan diri dalam dunia perniagaan dengan menjual kuih ros.
Kata wanita asal Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu, semasa bekerja di bank sebelum ini, dia sering kali membuat kuih berkenaan untuk menjamu rakan sekerja.
“Sejak kecil saya memang suka memasak, malah membesar dengan arwah nenek, saya sering membantunya membuat kuih-kuih tradisional termasuk kuih ros terutama ketika bulan puasa.
“Rakan-rakan saya memang gemar dengan kuih ros setiap kali saya membawanya ke pejabat. Melihat maklum balas yang pernah diterima telah mencetus idea saya untuk menjualnya,” ujar graduan Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan, Universiti Malaya itu.
Ceritanya lagi, beralih kerjaya kepada usahawan kuih tradisional Kak Long Krup Krap merupakan satu cabaran buat dirinya yang pertama kali menceburi bidang perniagaan.
Menurutnya, bagaimanapun dengan bantuan suami, anak-anak dan ahli keluarga yang lain, kini dia dapat menempuhinya serta berjaya mengembangkan pasaran kuih ros ke sekitar Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, bagi dirinya meskipun perlu belajar dari bawah, Siti Zahariah bersyukur kerana kali ini perjalanan kariernya dibina bersama keluarga sekali gus mewarisi seni pembuatan kuih tradisional bersama mereka.
Dia juga mengakui bahawa perkara itu sangat berbeza semasa dia bekerja di bank memandangkan waktunya lebih sibuk dan banyak diberikan untuk kepada kerjayanya.
“Setiap kerjaya punyai cabaran tersendiri, namun untuk menempuhinya perlukan fokus dan kecekalan di samping sokongan moral orang-orang terdekat.
“Bagi saya, berniaga bukanlah kerana saya mahu mengejar kekayaan, tetapi ia lebih kepada mengisi masa lapang dan memanfaatkannya untuk bersama keluarga,” kongsinya.