BUENOS AIRES – Seorang lelaki yang didakwa di bawah pengaruh dadah berlari tanpa seurat benang di sebatang jalan raya di Argentina sehingga mengganggu lalu lintas, lapor portal berita MailOnline.
Klip video kejadian pada Rabu lepas itu dirakam oleh seorang pejalan kaki. Ia menunjukkan seorang lelaki dikenali sebagai Adrian dikejar anggota polis di sebuah kejiranan di Buenos Aires.
Menurut portal berita Contexto Tucuman, Adrian dilihat oleh jiran-jirannya berjalan keluar dari bangunan kediaman mereka dalam keadaan bogel. Mereka kemudian menghubungi talian kecemasan 911 untuk melaporkan perkara itu.
“Dia tidak melawan apabila ditahan,” kata seorang anggota penguatkuasa undang-undang kepada saluran berita TN, manakala Adrian memberitahu polis, dia mengambil dadah di sebuah parti.
Adrian telah dibawa ke Hospital Pirovano dan dimasukkan ke unit kesihatan mental untuk penilaian ke atas dirinya.
Ada pengguna media sosial yang bergurau dengan berkata, lelaki itu berlari dengan perlahan manakala yang lain menyatakan anggota polis kurang berminat untuk menangkapnya. – Agensi