SIK – Sepasang suami isteri gembira apabila tanaman padi huma seluas dua hektar yang diusahakan mereka sejak tiga tahun lalu hidup subur dan dijangka mengeluarkan hasil tuaian sehingga 190 kilogram (kg) musim ini.
Mohd. Zain Taib, 59, dan isteri, Hawiah Wahab, 55, dari Kampung Melaka dalam mukim Sok, di sini berkata, mereka kini tidak menang tangan memandangkan beras tersebut mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.
Menurut Mohd. Zain, padi huma jenis padi langsat atau padi putih yang ditanam pada Ogos tahun lepas itu sudah masak dan boleh dituai.
“Saya dan isteri mula menanam padi huma ini sejak tiga tahun lalu dan hasilnya sangat menjadi.
“Kami tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan orang ramai yang mahu merasa beras baharu daripada padi huma ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, nasi daripada beras padi huma berbau wangi dan sedap.
“Ia akan lebih sedap jika dimasak menggunakan dapur kayu serta dimakan bersama gulai batang keladi, ikan pekasam selain ikan sungai yang dibakar bersama sambal serta ulam-ulaman,” ujarnya.
Jelasnya, permintaan beras padi huma pada tahun ini sangat tinggi walaupun harganya RM25 sekilogram.
“Bagi membolehkan setiap pelanggan dapat merasa beras padi huma ini, saya akan jual dengan cara mengagihkannya sama rata,” katanya.
Sementara itu, katanya, proses penanaman dan penjagaan padi itu mudah kerana tidak memerlukan air yang banyak dan cukup sekadar bekalan air hujan.